Salam sejahtera,
Setelah sekian lama menyepi, kini saya mempunyai ruang dan peluang untuk menulis semula. Pada malam ini, saya akan berkongsi satu isu bahasa yang berjudul "Bahasa Sendi Tamadun Bangsa."
Untuk makluman rakan pembaca, saya mendapat ilham untuk mengupas berkenaan isu terbabit setelah mengikuti satu forum bahasa yang bertempat di Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris, seperti mana yang berikut:
Menurut Dr. Haji Idris Mohd Radzi, "bahasa merupakan "pemain" utama dan bukannya sendi! Hal ini demikian kerana, beliau berpendapat bahawa bahasa memainkan peranan sebagai alat penyampai fikiran dan bukannya alat penghubung (sendi) semata-mata!" Dalam erti kata lain, bahasa merupakan "peneraju" dan bukannya sendi.
Seterusnya, Prof. Emeritus Abdullah Hassan menegaskan bahawa "peradaban Melayu perlu dimajukan melalui bahasa Melayu itu sendiri!" Selain itu, tulisan dianggap penting kerana:
- Bahasa menyimpan maklumat atau ilmu yang bermanfaat.
- Masyarakat hidup rukun seperti kehidupan yang terjamin melalui perundangan.
Persoalannya, bagaimana maklumat dan perundangan itu boleh ditulis kalau bukan melalui bahasa? Mungkinkah semua akan mengerti sekiranya ditulis dalam kod tertentu? :-)
Speaker yang ketiga, Prof. Datuk Dr Zainal Kling seterusnya memperdalam makna sendi dari dua dimensi yakni:
- "sandi" dalam bahasa Sanskrit bermaksud "perhubungan", seperti mana sendi yang menghubungkan anggota badan manusia.
- "sendi" dalam bahasa Melayu yang mendukung makna "alas".
Ringkasnya, beliau menegaskan bahawa tiada satu pun tamadun yang wujud tanpa bahasa! Perkara ini kerana, bahasa merupakan kurniaan Tuhan yang sangat besar maknanya kepada manusia. Rasionalnya?
- Melalui bahasa yang baik mewujudkan hubungan yang baik.
- Bahasa menyatukan bangsa!
Sebagai kesimpulan, bahasa memainkan peranan yang sangat penting bagi membina atau mengekalkan sebuah tamadun. Justeru, berbanggalah dengan bahasa yang kita ada!:-)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan