Selasa, 25 Oktober 2011

DRAMA DALAM PENGAJARAN BAHASA

Drama merupakan sebahagian daripada komponen wajib sastera. Penulisan sebuah drama seterusnya bergantung kepada kreativiti penulis dalam menghasilkan binaan plotnya. Binaan plot yang baik bergantung kepada kepelbagaian teknik plot yang digunakan oleh penulis skrip drama. Walau bagaimanapun, teknik plot khususnya monolog dan dialog acap kali menimbulkan kekeliruan pada pelajar untuk menanggap maksud dan perbezaan antara kedua-duanya. Justeru, grafik seperti di bawah boleh digunakan:

            Berdasarkan pengalaman saya sendiri (semasa berpraktikum), grafik di atas bukan sahaja berupaya memperjelas kefahaman pelajar mengenai dialog dan monolog malahan turut membantu pelajar untuk membanding beza beberapa aspek tatabahasa iaitu:
  •       Golongan kata

Grafik di atas telah membantu pelajar untuk mengenal pasti tiga golongan kata yang utama iaitu kata nama (Melayu, Jawa, Inggeris, Mandarin, Tamil), kata kerja (bertutur) dan kata adjektif (hebat).
  •      Tanda baca

Selain itu, grafik di atas turut membantu pelajar memahami penggunaan tanda baca seperti koma (,) dan tanda seru (!).
  •      sebutan dan intonasi

Melalui lakonan pendek yang dijalankan, pelajar mampu mengenal pasti perbezaan sebutan dan intonasi bagi ayat yang menggunakan tanda seru (!) dan ayat penyata yang menggunakan noktah (.).

            Tuntasnya, pengajaran drama mampu untuk mewujudkan penggabungjalinan tatabahasa sekaligus memartabatkan lagi penggunaan bahasa di dalam bilik darjahJ


BAHAN SASTERA DALAM PENGAJARAN BAHASA

Komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu meliputi karya sastera yang berbentuk novel, cerpen, sajak, drama, cerita klasik dan puisi tradisional. Sehubungan dengan itu, penggunaan bahan sastera secara tidak langsung turut menjurus kepada pengajaran bahasa.
            Berikut merupakan antara bahan sastera yang boleh digunakan dalam pengajaran bahasa:
  •    Petikan drama
Penggunaan petikan drama dalam pengajaran bahasa berpotensi untuk melatih sebutan dan intonasi pelajar. Misalnya, melalui petikan drama, pelajar didedahkan dengan sebutan dan intonasi bagi ayat penyata, ayat tanya dan ayat perintah. 
  •        Teks cerpen dan prosa klasik
Melalui penggunaan teks cerpen dan prosa klasik, pelajar diberi pendedahan tentang susun atur ayat atau lebih dikenali sebagai sintaksis. Antaranya, binaan ayat, susunan ayat, ragam ayat dan penggunaan tanda baca.
  •       Grafik
Penggunaan grafik khususnya dalam menjelaskan konsep gaya bahasa secara tidak langsung turut memperkenalkan pelajar dengan pelbagai kosa kata dan peribahasa baru. Tambahan pula, grafik akan memperjelas kefahaman pelajar tentang sesuatu yang bersifat abstrak kepada konkrit.
  •        Teks puisi moden dan tradisional
Puisi sama ada moden atau tradisional bukan sahaja boleh dilagukan malah turut memungkinkan pelajar untuk mengenal pasti struktur, bentuk dan golongan kata yang digunakan misalnya bahasa pinjaman, kata tunggal dan kata kerja.

            Dengan demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya sastera dan bahasa merupakan dua elemen yang saling berkaitan, ‘bagai isi dengan kuku’. Justeru, pengajaran sastera dan bahasa perlulah diselaraskan agar wujud kesinambungan antara kedua-duanya.

Rujukan : Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Bahasa Melayu
Sastera & bahasa; bagai isi dengan kuku...

PEMILIHAN & PEMBINAAN MEDIA PENGAJARAN DARI INTERNET

Brace mendefinisikan internet sebagai satu ‘kesepakatan’. Hal ini kerana, internet merupakan satu medium yang berupaya untuk mewujudkan jaringan komunikasi secara global. Pengajaran dan pembelajaran di sekolah mendapat pelbagai manfaat daripada media yang diperoleh daripada internet misalnya mel elektronik, laman web, Internet Relay Chat, telesidang, dan telnet.

            Sejajar dengan matlamat untuk mewujudkan pembelajaran yang berkesan, proses pemilihan media pengajaran daripada internet mengambil kira beberapa aspek yang berikut:
  •          Objektif pembelajaran

Media yang dipilih seharusnya dapat membantu guru untuk mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Misalnya, untuk perbincangan isu pencemaran, guru boleh menayangkan video yang berkaitan dengan pembakaran hutan atau pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Dengan demikian, pelajar dapat mengenal pasti faktor dan kesan pencemaran seterusnya memungkinkan objektif yang ditetapkan oleh guru tercapai.
  •         Kumpulan sasaran

Kedua, pemilihan media pengajaran perlu mengambil kira keperluan dan keadaan kumpulan sasaran yakni pelajar itu sendiri. Antara aspek yang dititikberatkan ialah kesesuaian media yang dipilih dengan peringkat umur dan tahap pengetahuan, jantina serta latar belakang pelajar. Contohnya, video yang bersifat racist tidak sesuai bagi perbincangan mengenai perpaduan kerana dikhuatiri mampu menyinggung perasaan pelajar yang berbilang kaum.  
  •          Kebolehbacaan dan kejelasan

Kebolehbacaan dan kejelasan merujuk kepada sifat media pengajaran itu sendiri. Antaranya, pemilihan saiz dan jenis fon yang selesa pada pandangan keseluruhan dan imej yang jelas dan tidak kabur. Kebolehbacaan dan kejelasan membantu pelajar untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Di samping itu, pemilihan media yang menarik berpotensi untuk meningkatkan perhatian dan minat pelajar terhadap pengajaran guru.

            Pembelajaran yang berkesan turut dibantu oleh kecekapan guru dalam membina media pengajaran yang diambil daripada internet. Antara kaedah pembinaan media yang baik adalah dengan menjadikan model ASSURE sebagai panduan. Berikut merupakan enam tahap pembinaan media pengajaran mengikut model ASSURE:
  •          Analisis pelajar

Pembinaan media pengajaran terlebih dahulu akan menganalisis latar belakang pengguna (pelajar) khususnya dari segi jantina, umur, gaya pembelajaran, bakat, pengetahuan sedia ada, kemahiran dan sikap pelajar berkenaan.
  •         Nyatakan objektif

Penentuan objektif merujuk kepada aspek perubahan pelajar yang ingin dicapai melalui penggunaan media pengajaran yang dipilih misalnya kemahiran interpersonal, tingkah laku dan emosi pelajar terhadap pembelajaran di dalam bilik darjah.
  •          Pilih kaedah, media dan bahan

Media yang dipilih perlu bersesuaian dengan aras kebolehan pelajar untuk mengendalikannya serta bersesuaian pula dengan pembelajaran yang ingin dicapai. Justeru, bahan perlu dikaji terlebih dahulu sebelum digunakan untuk pembelajaran.
  •          Gunakan media dan bahan

Media dan bahan yang disediakan berpotensi untuk melengkapkan pengalaman dan pengetahuan pelajar. Dengan kata lain, media yang digunakan perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bermakna untuk pelajar.
  •          Penglibatan pelajar

Media yang digunakan berupaya untuk mewujudkan penglibatan aktif pelajar melalui aktiviti-aktiviti seperti  simulasi dan kuiz. Hal ini kerana, suasana pembelajaran yang menarik akan mendorong pelajar untuk memberikan maklum balas yang positif.
  •          Penilaian dan Pengubahsuaian

Penilaian dan pengubahsuaian bertujuan memastikan kelancaran fungsi media pengajaran yang telah dipilih. Dengan demikian, guru berupaya untuk mengukur kesesuaian media dengan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.


TUJUAN MENGGUNAKAN MEDIA DALAM PEMBELAJARAN

Kata orang ‘tak kenal maka tak cinta’. Justeru, sebelum menelusur tujuan menggunakan media dalam instruksi dan pembelajaran dengan lebih mendalam, perihal definisi media dan pembelajaran itu sendiri akan diperjelas terlebih dahulu.
  • Media
Percival dan Elington (1984) mendefinisikan media sebagai alatan fizikal teknologi pendidikan yang merangkumi perkataan bercetak, filem, pita, piring hitam, slaid dan kombinasi di antaranya. Menurut Riser dan Gagne (1983) pula, media merupakan sebarang cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan. Justeru, media dapat disimpulkan sebagai pengantara atau perantara komunikasi dari pengirim kepada penerima.
  • Pembelajaran
Perubahan dalam cara bertindak, melahirkan pendapat sikap dan perasaan dinamakan sebagai pembelajaran (Musa Daia, 1992:32). Asmah Hj. Ahmad (1989:12) pula menyatakan bahawa pembelajaran merupakan perubahan tingkah laku sebagai akibat daripada pengalaman seseorang individu itu.
            Penggunaan media dalam instruksi dan pembelajaran bertujuan mewujudkan pembelajaran yang berkesan melalui:
  •                     atensi
Atensi merujuk kepada keupayaan guru untuk menarik perhatian pelajar. Dengan kata lain, penggunaan media seperti grafik dan video mampu mengekalkan minat dan tumpuan pelajar sepanjang tempoh pengajaran guru.
  •                    afektif
Kedua, media bertujuan meningkatkan keseronokan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, penggunaan media mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna buat pelajar.
  •                       kognitif
Menyedari hakikat kesukaran pelajar untuk menanggap konsep-konsep abstrak khususnya dalam pembelajaran komponen sastera, media berupaya untuk memperjelas sesuatu konsep daripada abstrak kepada konkrit. Hal ini sejajar dengan konsep perkembangan intelektual Piaget (1977) yang menyatakan bahawa, manusia berupaya mengingat dengan lebih baik melalui visual dan audio yang diterima.
  •                     interaksi
Melalui media dalam pembelajaran, guru secara tidak langsung akan mewujudkan interaksi dua hala dengan pelajar. Hal ini kerana, dalam proses merangsang minda pelajar, guru akan menggunakan rumus 5W1H untuk menggalakkan pelajar memberi respons terhadap media yang ditunjukkan. 

            Kesimpulannya, media merupakan satu elemen penting ke arah mewujudkan pembelajaran yang berkesan kerana media mampu melancarkan interaksi antara guru dan pelajar, mewujudkan pembelajaran yang lebih jelas dan menarik serta meningkatkan kualiti pemahaman pelajar berkenaan sesuatu konsep yang dipelajari.

INGATAN TULUS IKHLASKU