Selasa, 25 Oktober 2011

PEMILIHAN & PEMBINAAN MEDIA PENGAJARAN DARI INTERNET

Brace mendefinisikan internet sebagai satu ‘kesepakatan’. Hal ini kerana, internet merupakan satu medium yang berupaya untuk mewujudkan jaringan komunikasi secara global. Pengajaran dan pembelajaran di sekolah mendapat pelbagai manfaat daripada media yang diperoleh daripada internet misalnya mel elektronik, laman web, Internet Relay Chat, telesidang, dan telnet.

            Sejajar dengan matlamat untuk mewujudkan pembelajaran yang berkesan, proses pemilihan media pengajaran daripada internet mengambil kira beberapa aspek yang berikut:
  •          Objektif pembelajaran

Media yang dipilih seharusnya dapat membantu guru untuk mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Misalnya, untuk perbincangan isu pencemaran, guru boleh menayangkan video yang berkaitan dengan pembakaran hutan atau pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Dengan demikian, pelajar dapat mengenal pasti faktor dan kesan pencemaran seterusnya memungkinkan objektif yang ditetapkan oleh guru tercapai.
  •         Kumpulan sasaran

Kedua, pemilihan media pengajaran perlu mengambil kira keperluan dan keadaan kumpulan sasaran yakni pelajar itu sendiri. Antara aspek yang dititikberatkan ialah kesesuaian media yang dipilih dengan peringkat umur dan tahap pengetahuan, jantina serta latar belakang pelajar. Contohnya, video yang bersifat racist tidak sesuai bagi perbincangan mengenai perpaduan kerana dikhuatiri mampu menyinggung perasaan pelajar yang berbilang kaum.  
  •          Kebolehbacaan dan kejelasan

Kebolehbacaan dan kejelasan merujuk kepada sifat media pengajaran itu sendiri. Antaranya, pemilihan saiz dan jenis fon yang selesa pada pandangan keseluruhan dan imej yang jelas dan tidak kabur. Kebolehbacaan dan kejelasan membantu pelajar untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Di samping itu, pemilihan media yang menarik berpotensi untuk meningkatkan perhatian dan minat pelajar terhadap pengajaran guru.

            Pembelajaran yang berkesan turut dibantu oleh kecekapan guru dalam membina media pengajaran yang diambil daripada internet. Antara kaedah pembinaan media yang baik adalah dengan menjadikan model ASSURE sebagai panduan. Berikut merupakan enam tahap pembinaan media pengajaran mengikut model ASSURE:
  •          Analisis pelajar

Pembinaan media pengajaran terlebih dahulu akan menganalisis latar belakang pengguna (pelajar) khususnya dari segi jantina, umur, gaya pembelajaran, bakat, pengetahuan sedia ada, kemahiran dan sikap pelajar berkenaan.
  •         Nyatakan objektif

Penentuan objektif merujuk kepada aspek perubahan pelajar yang ingin dicapai melalui penggunaan media pengajaran yang dipilih misalnya kemahiran interpersonal, tingkah laku dan emosi pelajar terhadap pembelajaran di dalam bilik darjah.
  •          Pilih kaedah, media dan bahan

Media yang dipilih perlu bersesuaian dengan aras kebolehan pelajar untuk mengendalikannya serta bersesuaian pula dengan pembelajaran yang ingin dicapai. Justeru, bahan perlu dikaji terlebih dahulu sebelum digunakan untuk pembelajaran.
  •          Gunakan media dan bahan

Media dan bahan yang disediakan berpotensi untuk melengkapkan pengalaman dan pengetahuan pelajar. Dengan kata lain, media yang digunakan perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bermakna untuk pelajar.
  •          Penglibatan pelajar

Media yang digunakan berupaya untuk mewujudkan penglibatan aktif pelajar melalui aktiviti-aktiviti seperti  simulasi dan kuiz. Hal ini kerana, suasana pembelajaran yang menarik akan mendorong pelajar untuk memberikan maklum balas yang positif.
  •          Penilaian dan Pengubahsuaian

Penilaian dan pengubahsuaian bertujuan memastikan kelancaran fungsi media pengajaran yang telah dipilih. Dengan demikian, guru berupaya untuk mengukur kesesuaian media dengan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

INGATAN TULUS IKHLASKU