Selasa, 25 Oktober 2011

BAHAN SASTERA DALAM PENGAJARAN BAHASA

Komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu meliputi karya sastera yang berbentuk novel, cerpen, sajak, drama, cerita klasik dan puisi tradisional. Sehubungan dengan itu, penggunaan bahan sastera secara tidak langsung turut menjurus kepada pengajaran bahasa.
            Berikut merupakan antara bahan sastera yang boleh digunakan dalam pengajaran bahasa:
  •    Petikan drama
Penggunaan petikan drama dalam pengajaran bahasa berpotensi untuk melatih sebutan dan intonasi pelajar. Misalnya, melalui petikan drama, pelajar didedahkan dengan sebutan dan intonasi bagi ayat penyata, ayat tanya dan ayat perintah. 
  •        Teks cerpen dan prosa klasik
Melalui penggunaan teks cerpen dan prosa klasik, pelajar diberi pendedahan tentang susun atur ayat atau lebih dikenali sebagai sintaksis. Antaranya, binaan ayat, susunan ayat, ragam ayat dan penggunaan tanda baca.
  •       Grafik
Penggunaan grafik khususnya dalam menjelaskan konsep gaya bahasa secara tidak langsung turut memperkenalkan pelajar dengan pelbagai kosa kata dan peribahasa baru. Tambahan pula, grafik akan memperjelas kefahaman pelajar tentang sesuatu yang bersifat abstrak kepada konkrit.
  •        Teks puisi moden dan tradisional
Puisi sama ada moden atau tradisional bukan sahaja boleh dilagukan malah turut memungkinkan pelajar untuk mengenal pasti struktur, bentuk dan golongan kata yang digunakan misalnya bahasa pinjaman, kata tunggal dan kata kerja.

            Dengan demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya sastera dan bahasa merupakan dua elemen yang saling berkaitan, ‘bagai isi dengan kuku’. Justeru, pengajaran sastera dan bahasa perlulah diselaraskan agar wujud kesinambungan antara kedua-duanya.

Rujukan : Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Bahasa Melayu
Sastera & bahasa; bagai isi dengan kuku...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

INGATAN TULUS IKHLASKU