Kata orang ‘tak kenal maka tak cinta’. Justeru, sebelum menelusur tujuan menggunakan media dalam instruksi dan pembelajaran dengan lebih mendalam, perihal definisi media dan pembelajaran itu sendiri akan diperjelas terlebih dahulu.
- Media
Percival dan Elington (1984) mendefinisikan media sebagai alatan fizikal teknologi pendidikan yang merangkumi perkataan bercetak, filem, pita, piring hitam, slaid dan kombinasi di antaranya. Menurut Riser dan Gagne (1983) pula, media merupakan sebarang cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan. Justeru, media dapat disimpulkan sebagai pengantara atau perantara komunikasi dari pengirim kepada penerima.
- Pembelajaran
Perubahan dalam cara bertindak, melahirkan pendapat sikap dan perasaan dinamakan sebagai pembelajaran (Musa Daia, 1992:32). Asmah Hj. Ahmad (1989:12) pula menyatakan bahawa pembelajaran merupakan perubahan tingkah laku sebagai akibat daripada pengalaman seseorang individu itu.
Penggunaan media dalam instruksi dan pembelajaran bertujuan mewujudkan pembelajaran yang berkesan melalui:
- atensi
Atensi merujuk kepada keupayaan guru untuk menarik perhatian pelajar. Dengan kata lain, penggunaan media seperti grafik dan video mampu mengekalkan minat dan tumpuan pelajar sepanjang tempoh pengajaran guru.
- afektif
Kedua, media bertujuan meningkatkan keseronokan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, penggunaan media mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna buat pelajar.
- kognitif
Menyedari hakikat kesukaran pelajar untuk menanggap konsep-konsep abstrak khususnya dalam pembelajaran komponen sastera, media berupaya untuk memperjelas sesuatu konsep daripada abstrak kepada konkrit. Hal ini sejajar dengan konsep perkembangan intelektual Piaget (1977) yang menyatakan bahawa, manusia berupaya mengingat dengan lebih baik melalui visual dan audio yang diterima.
- interaksi
Melalui media dalam pembelajaran, guru secara tidak langsung akan mewujudkan interaksi dua hala dengan pelajar. Hal ini kerana, dalam proses merangsang minda pelajar, guru akan menggunakan rumus 5W1H untuk menggalakkan pelajar memberi respons terhadap media yang ditunjukkan.
Kesimpulannya, media merupakan satu elemen penting ke arah mewujudkan pembelajaran yang berkesan kerana media mampu melancarkan interaksi antara guru dan pelajar, mewujudkan pembelajaran yang lebih jelas dan menarik serta meningkatkan kualiti pemahaman pelajar berkenaan sesuatu konsep yang dipelajari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan