Isnin, 31 Januari 2011

SITUASI : TERBIASA ATAU DIBIASAKAN?

Salam sejahtera,
Dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sentiasa dibelenggu dek pengaruh bahasa asing khasnya bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita telah pun dimanipulasi pemikirannya dek pelbagai bentuk sebab musabab yang tanpa sedar kian menular dari hari ke hari. Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, dukacita kiranya saya ingin menyertakan beberapa grafik sebagai bahan bukti. Mohon dipinjamkan deria pandang sekalian pembaca yang budiman…pandanglah dengan mata hati saudara dan saudari!


Berdasarkan grafik di atas, antara perkataan yang menjadi kebiasaan dalam pertuturan kita adalah breakfast, sponsor, nervous, steady, relax, study, lunch, best, next, parking, hot dog, love, miss, paper, picnic, guarantee, good luck, exam, copy, double, then, try test, colour, OK, lib, phone, call dan seumpamanya. Pada pandangan saudara dan saudari pembaca yang dihormati sekalian, apakah faktor yang menjurus kepada pencampuran perkataan-perkataan berkenaan dalam perbualan kita sehari-harian? Apakah semuanya bertitik tolak daripada pengaruh media massa atau sebaliknya? Menurut saya, pencampuran bahasa ini merupakan kekhilafan individu sama ada disengajakan mahupun tidak disengajakan. Bagi mengukuhkan lagi hujah saya, marilah kita sama-sama meneliti dan menganalisis situasi-situasi di bawah:

      A : Breakfast jum? Aku sponsor! Lunch turn ko pulak. 
      B : Urmm, aku nervous la. Tak ready lagi ni. 
      C : Hujung minggu ni kita g picnic nak tak? Best ooo!! 
      D : Relax la kawan, ko guarantee boleh buat punya. 
      E : Awak, nak nombor phone boleh tak? Nanti i call you
      F : Tension lah macam ni, tempat parking takde!

Perbualan di atas merupakan sebilangan kecil daripada kebiasaan yang kita dengar, yang kita tuturkan, yang kita alami! Bagi golongan yang asyik dilamun cinta, dua ucapan keramatnya sudah tentu "I love you" dan "I miss you", benar bukan? Mengapa bukan "Aku mencintaimu" dan "Aku merinduimu"? Pasti kedengaran lebih menyenangkan dek telinga kita. Perhatikan ayat-ayat lazim di atas, dan bagaimana ayat-ayat tersebut seharusnya dituturkan.

       * Pembetulan :
       A : Jom sarapan? Aku belanja. Makan tengah hari, giliran ko pula!
       B : Urmm, aku gemuruh la. Tak sedia lagi ni.
       C : Hujung minggu ni kita pergi berkelah nak tak? Seronok tau!
       D : Tenang la kawan, ko mesti boleh buat punya.
       E : Awak, nak nombor telefon boleh tak? Nanti saya telefon awak.
       F : Rimas la macam ni, tempat parkir takde! 

Nah, lebih menarik dan sedap didengar bukan? Kita harus berbangga dengan bahasa kita kerana bahasa merupakan tanggungjawab kita bersama. Bagaimanakah nasib bahasa kita di masa depan sekiranya kita sendiri enggan menggunakannya dengan sebaik mungkin? Kita bahkan sengaja membiasakan diri dengan ayat yang bercampur aduk perkataannya. Sebelum mengakhiri bicara mata hati, perhatikan komik di bawah, dan berbicaralah dengan diri kita, warga yang mendukung amanah untuk memartabatkan bahasa :



Pendek kata, situasi-situasi yang telah saya titipkan merupakan satu kebiasaan yang tidak seharusnya kita jadikan amalan. Hal ini demikian kerana, bahasa merupakan anugerah dari Tuhan yang amat berharga sekaligus menjadi kayu ukur kepada jati diri kita. Sehubungan dengan itu, marilah kita menanamkan rasa cinta dan bangga akan bahasa kita. Fikir-fikirkanlah. Sekian, terima kasih...


Jumaat, 28 Januari 2011

SITUASI : FORUM BAHASA

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke hujung laman;
Salam sejahtera pemanis kalam,
Buat sekalian pembaca budiman.

Pada pagi ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang amat menarik dengan saudara dan saudari pembaca sekalian. Ceritera bermula dengan pengembaraan menelusuri salah satu daripada laman web kegemaran saya, iaitu, Youtube. Sewaktu sedang berlegar-legar di ruangan atas talian ini, saya menemui satu rakaman video yang berkaitan dengan forum "Bahasaku Bahasa Nusantara" yang melibatkan tiga orang tokoh bahasa, setiap satu daripadanya berasal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tatkala melihat rakaman video tersebut, hati saya terdetik untuk memuat naik forum berkenaan ke laman blog saya. Hal ini bukan atas dasar suka semata-mata, sebaliknya, saya beranggapan bahawa isu yang dibincangkan dalam forum berkenaan berkait rapat dengan elemen pembelajaran Sosiolinguistik Melayu! Sebelum mengulas dengan lebih lanjut berkenaan forum tersebut, izinkan saya untuk meminjam deria pandang dan dengar pembaca sekalian.


Setelah selesai memerhati, dan menghayati rakaman video berkenaan forum "Bahasaku Bahasa Nusantara" saya terdetik untuk berbicara tentang peranan kita sebagai penutur bahasa Melayu. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam video di atas, budaya sesebuah masyarakat akan mempengaruhi perkembangan bahasa. Pernyataan berkenaan menurut saya mendukung makna perkembangan bahasa Melayu bergantung kepada amalan penggunaan bahasa tersebut dalam kalangan masyarakat penuturnya. Penggunaan bahasa yang saya ujarkan merujuk kepada aplikasi bahasa baik dalam pertuturan mahupun penulisan! Bayangkanlah nasib bahasa kita sekiranya masyarakat terus-menerus  menggunakan bahasa dengan sewenang-wenangnya. Perbuatan berbahasa yang saya istilahkan sebagai "sewenang-wenangnya" merujuk kepada aspek laras bahasa, unsur inteferensi dan sebagainya. Kita ambil satu contoh yang mudah, masyarakat di era globalisasi cenderung untuk mencipta ejaan atau singkatan yang bersifat sesedap sebutan. Gejala ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita mengkaji bahasa sistem pesanan ringkas (SMS), laman web sosial seperti Facebook serta pada ruangan chat yang disediakan oleh sebilangan kecil media penyiaran. 

Sebagaimana yang diutarakan oleh Profesor Dr. Abdul Hamid Bin Mahmood, kejayaan bahasa Melayu bergantung kepada sikap penuturnya, sama ada mereka yakin, sanggup ataupun tidak untuk menggunakan bahasa tersebut! Sebaliknya, masyarakat kita mulai hanyut di bawa arus bahasa-bahasa asing! Pernahkah kita terfikir tentang masa depan bahasa kita tatkala kita memilih untuk mengagungkan bahasa luar? Jika jawapannya adalah "YA" maka saya menyifatkan bahawa kita perlu menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya. Penggunaan bahasa slanga, bahasa rojak dan seumpamanya dalam status komunikasi sosial masih boleh kita pertimbangkan, tetapi bagaimana dengan aplikasi bahasa yang salah dalam situasi-situasi formal? Bukankah kita telah merendahkan martabat bahasa di luar sedar kita? Sudah tentu jawapannya, "Ya!". Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama memperbaiki penggunaan bahasa kita. Hal ini demikian kerana, sekecil-kecil khilaf yang kita lakukan dalam berbahasa boleh mendatangkan impak yang besar kepada bahasa kita. Tambahan pula, kita perlu yakin bahawa bahasa kita merupakan bahasa  yang terbaik, bahasa ilmu dan sudah tentu menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Renung-renungkanlah wahai sahabat-sahabatku kerna maju mundur bahasa itu letaknya pada tangan kita sendiri....

Ahad, 23 Januari 2011

SITUASI : LEWAH

Salam sejahtera,
Semalam, saya dan rakan sempat berkunjung ke tapak pasar malam yang bertempat di Tg.Malim, Perak. Seperti biasa, kami akan membuat rondaan dalam kadar paling minima, iaitu dua pusingan! Hal ini demikian kerana, di samping menjual makanan, pasar malam yang beroperasi sekali seminggu ini menawarkan pelbagai jenis buah-buahan, daging mentah, pakaian dan sebagainya. Setelah puas memerhati dan membuat penilaian, kami mengambil keputusan untuk membeli nasi lemak kukus. Setibanya kami di gerai nasi lemak kukus Kak S (bukan nama sebenar), kami disambut dengan senyuman yang mesra. Sesudah itu, penjual nasi lemak kukus bersuara. Berikut merupakan dialog antara saya dan rakan bersama penjual berkenaan, perhatikan :

        Penjual : Hai, awal keluar hari ni? (Sambil tersenyum)
        Rakan   : Kebetulan kami keluar membeli barang. 
        Saya      : Kak, nak nasi lemak kukus dua! (Nada seperti biasa.)
        Penjual : Nak asing ke lain-lain dik?
        Rakan   : Asing. 

Saya tercengang. Hati kecil saya lantas berbisik, “Kakak tu sebut asing dan lain-lain rasanya. Setahu aku sama je maknanya.” Walau bagaimanapun, saya tidak bersuara sekadar mengucapkan terima kasih sambil berlalu setelah menjelaskan bayaran yang diperlukan. Isu yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, bahasa yang lewah! Lewah bermaksud penggunaan bahasa yang berlebihan dalam satu ayat. Hal ini berlaku apabila, sesebuah ayat mengandungi dua perkataan seerti yang juga dikenali sebagai sinonim. Pada pendapat saya, perkataan “lain-lain” dan “asing” mendukung makna yang sama meski berbeza ejaan dan sebutannya. Dalam insiden di atas, saya berpendapat bahawa penjual tersebut sebenarnya hendak mengungkapkan pertanyaan yang berbunyi begini, “Nak bayar asing ke sekali?” Barangkali si penjual tidak menyedari apa yang dikatakan. Tambahan pula, kata orang tua-tua, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” 
*Nasi lemak kukus*

Sabtu, 22 Januari 2011

SITUASI : KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Kesopanan dan kesusilaan merupakan cabang Rukun Negara yang kelima. Berbicara tentang kesopanan dan kesusilaan, senario yang berlaku di perkarangan gelanggang futsal Kolej Za’ba benar-benar mencuit mata hati saya. Saya bersama empat orang rakan sekelas sedang asyik menonton perlawanan futsal. Di sebelah kiri saya, sekumpulan siswi yang lengkap berjersi bola sepak sedondon, sedang menjerit, melolong memberi sokongan kepada pasukan yang sedang bermain. Apa yang menarik perhatian saya adalah, cara siswi-siswi itu memberikan sokongan. Suara yang pada umumnya aurat bagi perempuan sebaliknya telah dikeluarkan semaksimum yang mungkin. Tidak cukup dengan itu, siswi-siswi berkenaan bahkan bertindak menggoncang “jaring” yang mengelilingi gelanggang futsal berkenaan. Semakin lama, suara mereka semakin kuat sehingga mencuit hati sahabat saya untuk menegurnya. Sapaan sahabat saya dibalas dengan nada yang agak santai, pada pandangan mata hati sayalah. Dan, mereka terus bersorak. Antara sorakan yang sempat saya rakamkan ialah :

Ahh, tue dia Ff Fc. Steady Ff Fc! Go Ff FC go! Go Mus*** go! Go Sal***! Try! Yeah, try! Goooaa…ahhh! It’s ok, it’s alright. Ff FC is the best!
Demikianlah sedikit sebanyak gambaran senario yang melibatkan siswi-siswi yang saya sifatkan sebagai “brutal”. Secara peribadinya, saya memahami situasi siswi-siswi berkenaan yakni mereka begitu bersemangat dan berkobar-kobar jiwanya tatkala menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan kegemaran mereka. Sehubungan dengan itu, mereka telah pun beraksi ala-ala pasukan sorak bagi pertandingan bola keranjang yang acapkali ditayangkan di kaca televisyen. Walau bagaimanapun, sebagai seorang insan yang bernama “wanita”, saya berpendapat bahawa, aspek kesopanan dan kesusilaan itu biarlah kekal terpelihara walau di mana jua berada. Tidak bermakna salah untuk kita menyokong pasukan kegemaran yang sedang beraksi, tetapi, alangkah eloknya jika perlakuan dan pertuturan kita diletakkan batas! Hal ini demikian kerana, adalah kurang enak dipandang mata para siswa tatkala melihat perlakuan dan pertuturan siswi-siswi berkenaan. Tambahan pula, perkarangan gelanggang dimonopoli oleh kaum Adam! Di samping itu, saya juga sempat menafsir bait-bait kata yang terungkap dari bibir siswi-siswi berkenaan. Selain daripada pencampuran antara Bahasa Inggeris dengan Bahasa Melayu, siswi-siswi terbabit menggunakan bahasa badan yang saya kira kurang sesuai untuk dipertontonkan dalam khalayak yang sebilangan besarnya lelaki.

Kesimpulannya, aspek kesopanan dan kesusilaan amat penting khasnya bagi seorang wanita. Justeru, wanita perlu menjaga tutur kata dan perilaku mereka ketika berada dalam keramaian. Bersorak itu boleh tetapi biarlah berpada-pada dan tetap memelihara kesopanan dan kesusilaan individu yang terlibat. Buat kaum Hawa termasuk diri saya sendiri, marilah kita sama-sama memelihara kesantunan diri. Mudah-mudahan…

Gambar sekadar hiasan


Jumaat, 21 Januari 2011

SITUASI : KATA SAPAAN

Salam sejahtera,
Hari ini, saya telah mengikuti satu sesi wacana ilmu yang diberi judul "Isu-Isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa", bertempat di Dewan Seri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sesi tersebut berlangsung selama lebih kurang tiga jam dengan kehadiran tetamu jemputan, Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan. Saya amat tertarik dengan isu kata sapaan yang diutarakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan. Hal ini demikian kerana, di sekitar kampus, kata sapaan merupakan satu isu bahasa yang agak sensitif dan acapkali berlaku. Fikiran saya lantas menerawang, mengimbau perkongsian pengalaman seorang pensyarah yang dikenali dengan nama Dr. A. 

Menurut  Dr. A, sewaktu ketika dahulu, beliau pernah berhadapan dengan karenah seorang penuntut yang mengalami masalah untuk menemui dewan kuliah yang tertera pada jadualnya. Semasa pelajar berkenaan sedang diselubungi kebingungan, Dr. A muncul. Pelajar tersebut kemudiannya pantas mendapatkan Dr. A, lebih kurang begini pertanyaannya :

             Pelajar : Pak cik, taman U tujuh dekat mana?

Sudah terang lagi bersuluh, pelajar berkenaan telah melakukan kesalahan dari segi penggunaan kata sapaan. Hal ini demikian kerana, pada pendapat saya, pelajar berkenaan sama sekali tidak mengetahui asal usul individu yang ditemuinya. Cuba bayangkan perasaan pensyarah berkenaan taktala mendengar panggilan "pak cik" terlafaz dari bibir pelajar berkenaan, tentu parah bukan? Apa yang cuba saya kupaskan di sini ialah, semasa berada di kawasan kampus, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil seseorang individu dengan panggilan "pak cik", "mak cik", "kakak", "abang" dan seumpamanya. Hal ini kerana, sekiranya kita merasa ragu-ragu berkenaan status seseorang individu, elok bagi kita untuk membahasakan individu berkenaan sebagai "encik"  bagi lelaki dan "puan" atau "cik" bagi golongan wanita. Kata sapaan yang betul sangat penting untuk mengelakkan kita daripada mengguris perasaan orang lain. Sehubungan dengan itu, saya menyeru sekalian warga kampus termasuk diri saya sendiri agar berusaha untuk memperbaiki pemilihan kata sapaan sewaktu ingin bertanya pada mana-mana individu yang ditemui. Fikir-fikirkanlah...

Gambar sekadar hiasan

Rabu, 19 Januari 2011

SITUASI : BAHASA KEBANGSAAN

Salam sejahtera,
Pertama kali saya mengenali lagu ini dengan lebih dekat sewaktu menyertai Program 1 Malaysia Sejuta Puisi, yang  mengambil masa selama tiga hari dua malam, bermula dari 22 Oktober 2010 hingga 24 Oktober 2010, bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia. Bermula dari detik itu, hati saya mulai terusik untuk menghayati bait-bait kata yang tersusun indah dalam lagu ini. Antara butir bicara yang menggamit mata hati saya adalah:
                         Gunakanlah bahasa kebangsaan kita,
                         Marilah amalkan ramai-ramai
                         Bahasalah menyatukan kita semua
                         Yakinlah bahasa jiwa bangsa
Selanjutnya, luangkan sedikit masa untuk mendengar, menghayati dan menyelami lagu yang sangat dekat dengan isu penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia...




Saudara saudari pembaca sekalian, indah bukan bait katanya? Sukar untuk membayangkan bagaimana satu bahasa itu mampu menyatukan pelbagai bangsa? Begitu istimewanya bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, wajar untuk kita memahami tujuan bahasa Melayu itu diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana, melalui pengenalan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, secara tidak langsung, masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai satu medium yang menjadi pengantara bagi persada komunikasi! Melalui komunikasi, masyarakat majmuk di negara kita akan berpeluang untuk mengenali, menghayati dan memahami antara satu sama lain. Dan, melalui bahasa kebangsaan juga masyarakat kita menjadi satu! Berinteraksi menggunakan satu bahasa, bahasa yang difahami oleh semua suku bangsa! Itulah yang dimaksudkan dengan "bahasalah menyatukan kita semua". Sehubungan dengan itu, marilah sekalian rakyat Malaysia, gunakanlah bahasa kebangsaan kita!


P/s: Cik Nurul Nadia, terima kasih di atas tunjuk ajar berkenaan prosedur untuk memuat naik video ke laman blog!

Isnin, 17 Januari 2011

SITUASI : KATA GANTI NAMA DIRI

Salam,
Hari ini, saya memilih untuk membuat sedikit ulasan berkenaan insiden yang berlaku semasa pembentangan bagi subjek Semantik dan Pragmatik sedang berlangsung. Pembentangan berkenaan melibatkan beberapa orang siswi yang sebaya dengan saya tetapi berlainan fakultinya. Pada mulanya, saya mendapati pembentangan berjalan dengan lancar khasnya dari segi penggunaan bahasa baku. Walau bagaimanapun, di pertengahan pembentangan, segala-galanya berubah. Barangkali kerana pada pertengahan sesi pembentangan, para pembentang perlu menunjukkan aplikasi sistem korpus. Dipendekkan cerita, salah seorang daripada siswi yang membentang, di bawah sedarnya telah menggunakan bahasa basahan atau bahasa pasar. Antara bait kata yang saya dengar adalah:

          A : Jap agi. Lepas ni kitorang ajar agi.
          B : Apa yang korang nak buat kat situ?

Berdasarkan dua ayat yang saya sertakan di atas, pembentang melakukan dua kesilapan yang jelas. Pertama, pembentang telah pun melakukan kesalahan dalam menggunakan kata ganti nama diri. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2004:88), kata ganti nama diri ialah kata nama yang menjadi pengganti sesuatu benda, perkara, atau manusia. Merujuk kepada situasi di atas, pembentang telah menyalahgunakan kata ganti nama orang pertama dan kata ganti nama orang kedua. Perkataan kitorang dalam ayat yang pertama mendukung makna kata ganti nama pertama yakni merujuk kepada orang yang bercakap manakala perkataan korang dalam ayat kedua tergolong dalam kata ganti nama diri kedua. Jika dilihat dengan mata kasar, siswi berkenaan seolah-olah tidak melakukan kesalahan bukan? Kesalahan pertama akan dapat diperkukuhkan dengan kesalahan yang kedua iaitu kesesuaian bahasa dengan persekitaran siswi berkenaan. Menurut Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan, penggunaan bahasa pasar semasa berada di dalam dewan kuliah secara tidak langsung akan merendahkan martabat sesuatu bahasa. Hal ini dapat kita jelaskan melalui penggantian kata ganti nama diri orang seperti di bawah :


Bil.
Bahasa Basahan
Bahasa Baku

         1.        
Kitorang
saya, kami

        2.       
Korang
saudara, saudari



Nah, sekarang lihatlah! Lebih molek bukan? Lazimnya, kesalahan penggunaan kata ganti nama diri orang berlaku di luar kawalan si penutur. Walau apapun jua yang menjadi titik tolak kepada permasalahan ini, elok rasanya untuk kita sama-sama memperbaiki diri khasnya dari segi kesesuaian bahasa dengan situasinya. Melalui aspek bahasa yang betul, kita secara tidak langsung akan mengangkat martabat bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Renung-renungkanlah...

Contoh Penggunaan Kata Ganti Nama Diri Orang

SITUASI : BAHASA ROJAK

Salam sejahtera,
Saya baru sahaja pulang dari menonton perlawanan bola sepak antara dua kelab terkemuka iaitu Liverpool dan Everton. Sewaktu sedang asyik menyaksikan perlawanan berkenaan, telinga saya terdengar perbualan antara dua orang pemuda yang duduk di meja belakang. Hati saya terusik taktala mendengar dialog seperti berikut :

            A : Tadi budak-budak ajak aku main futsal.
            B : Habis, nape tak join?
            A : Aku demam.

Sejajar dengan judul yang saya berikan iaitu "rojak", isu bahasa yang hendak saya bangkitkan di laman ini sudah semestinya bahasa rojak! Bahasa rojak membabitkan isu sosiolinguistik yang dikenali sebagai isu leksikal. Menurut Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan, permasalahan dari aspek leksikal merujuk kepada percampuran antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam sesebuah ayat. Merujuk kepada contoh di atas, perkataan join merupakan sebuah kosa kata yang diambil daripada bahasa Inggeris! Nah, penggunaan bahasa rojak sudah sekian lama berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Pendek kata, senario ini boleh kita katakan telah pun menapak di persada bicara kita sehari-harian untuk bertahun lamanya! Kenapa dan mengapa senario seumpama ini boleh berlaku? Barangkali kerana perkataannya yang lebih ringkas? Atau apa mungkin faktor persekitaran? Apapun jua alasannya, molek kiranya perkataan "join" ditukar kepada "ikut"! Kenapa? Jika isu sebutan yang ringkas yang dijadikan alasan, bukankah bilangan suku kata "join" dan "ikut" adalah sama? Pendek kata, saya beranggapan bahawa dialog di atas akan menjadi lebih mantap sekiranya menggunakan bahasa Melayu yang sebenar seperti di bawah :

            A : Tadi budak-budak ajak aku main futsal.
            B : Habis, kenapa tak ikut?
            A : Aku demam.

Menarik bukan? Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama berganding bahu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kita! Hal ini demikian kerana, jika bukan kita yang mencintai dan menjulang bahasa Melayu, siapa lagi yang hendak kita harapkan? Renung-renungkan masa depan bahasa kita wahai saudara dan saudari pembaca yang budiman.

*Gunakanlah Bahasa Melayu Dengan Betul*

Ahad, 16 Januari 2011

BAHASA JIWA BANGSA

Salam sejahtera,

Pergi membeli seekor angsa,
Angsa dibeli di Pekan Selasa;
Satu bangsa satu bahasa,
Maju bahasa majulah bangsa. 

Hembusan bayu membelai jiwa,
Menghapus lelah segenap keringat;
Bahasa Melayu bahasa perantara,
Menjalin ukhuwah sesama rakyat.

Dua rangkap pantun di atas merupakan hasil ilham saya sendiri yakni budak baru belajar. Secara peribadinya, saya beranggapan bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam memelihara identiti sesuatu bangsa. Selain itu, penggunaan bahasa melambangkan akal budi dan ketertinggian peradaban sesuatu bangsa. Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama berganding bahu dalam memperjuangkan bahasa kita!  Sematkanlah di dalam hati kita bahawasanya, BAHASA JIWA BANGSA!:-)


NILAI ILMU

Judul : Pendidikan

Pendidikan
Prasyarat penting capai kemajuan
Kunci utama ke arah kecemerlangan
Tunjang asas sumber kekuatan
Kekuatan dalaman serta luaran
            Pendidikan
            Falsafah menjadi satu pegangan
            Panduan demi satu keberkesanan
            Penyampaian ilmu dan pengetahuan
            Demi membentuk warga seimbang
Pendidikan
Merapatkan jurang sekalian warga
Di bilik darjah mereka semeja
Di kantin mereka makan bersama
Sesudah itu pulangnya bergurau senda
            Pendidikan
            Satu medium interaksi
            Medan penyatuan kaum bervariasi
            Lantas membentuk satu komuniti
            Komuniti Malaysia yang hidup harmoni
Pendidikan
Bagaimana membentuk 1 Malaysia?
Nilai masyarakat dipelajari bersama
Nescaya semua berfikiran terbuka
Prasangka diselisih bahagia menerpa

Sesungguhnya ilmu merupakan bekalan terbaik untuk kita mempertahankan limpah kurnia yang kita nikmati dewasa ini. Justeru, saudara dan saudari budiman sekalian, cintailah ilmu seperti mana kita mencintai lagu. Sekian, terima kasih:-)


Khamis, 13 Januari 2011

SALAM DARI EDITOR

Salam sejahtera,
Syukur...akhirnya saya berjaya menghasilkan sebuah blog khusus untuk memenuhi syarat dan kehendak kursus BML3073, Sosiolinguistik Melayu. Sosiolinguistik Melayu merupakan kajian bahasa yang berhubungan dengan masyarakat baik dalam kebudayaan, kepercayaan mahupun pemikirannya! Menurut Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan, sosiolinguistik mempunyai kaitan rapat dengan sosiologi bahasa, etnolinguistik, antropologi linguistik dan linguistik antropologi. Sehubungan dengan itu, laman blog ini akan menjadi medium bagi saya untuk mengupas berkenaan isu-isu sosiolinguistik bukan sahaja yang melibatkan bahasa lisan bahkan bahasa penulisan juga tidak terkecuali. Untuk makluman saudara dan saudari pembaca yang saya hormati sekalian, sebarang nama dan insiden yang saya titipkan di ruangan ini tidak bermaksud untuk mendatangkan aib sebaliknya bertujuan dijadikan renungan bersama. Bak kata majaz Melayu, "Buang yang keruh, ambil yang jernih". Akhir sekali, adalah menjadi harapan saya agar kewujudan blog "Bicara Mata Hati" ini dapat saya manfaatkan sebaik yang mungkin. Dan, sebelum saya terlupa, sekalung penghargaan untuk pensyarah kursus BML3073, Sosiolinguistik Melayu, Dr.Siti Saniah serta ketua kelas yang banyak berjasa, saudara Muhammad Fawiz Bin Bakri. Sekian, selamat membaca...


INGATAN TULUS IKHLASKU