Salam sejahtera,
Dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sentiasa dibelenggu dek pengaruh bahasa asing khasnya bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita telah pun dimanipulasi pemikirannya dek pelbagai bentuk sebab musabab yang tanpa sedar kian menular dari hari ke hari. Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, dukacita kiranya saya ingin menyertakan beberapa grafik sebagai bahan bukti. Mohon dipinjamkan deria pandang sekalian pembaca yang budiman…pandanglah dengan mata hati saudara dan saudari!
Berdasarkan grafik di atas, antara perkataan yang menjadi kebiasaan dalam pertuturan kita adalah breakfast, sponsor, nervous, steady, relax, study, lunch, best, next, parking, hot dog, love, miss, paper, picnic, guarantee, good luck, exam, copy, double, then, try test, colour, OK, lib, phone, call dan seumpamanya. Pada pandangan saudara dan saudari pembaca yang dihormati sekalian, apakah faktor yang menjurus kepada pencampuran perkataan-perkataan berkenaan dalam perbualan kita sehari-harian? Apakah semuanya bertitik tolak daripada pengaruh media massa atau sebaliknya? Menurut saya, pencampuran bahasa ini merupakan kekhilafan individu sama ada disengajakan mahupun tidak disengajakan. Bagi mengukuhkan lagi hujah saya, marilah kita sama-sama meneliti dan menganalisis situasi-situasi di bawah:
A : Breakfast jum? Aku sponsor! Lunch turn ko pulak.
B : Urmm, aku nervous la. Tak ready lagi ni.
C : Hujung minggu ni kita g picnic nak tak? Best ooo!!
D : Relax la kawan, ko guarantee boleh buat punya.
E : Awak, nak nombor phone boleh tak? Nanti i call you.
F : Tension lah macam ni, tempat parking takde!
Perbualan di atas merupakan sebilangan kecil daripada kebiasaan yang kita dengar, yang kita tuturkan, yang kita alami! Bagi golongan yang asyik dilamun cinta, dua ucapan keramatnya sudah tentu "I love you" dan "I miss you", benar bukan? Mengapa bukan "Aku mencintaimu" dan "Aku merinduimu"? Pasti kedengaran lebih menyenangkan dek telinga kita. Perhatikan ayat-ayat lazim di atas, dan bagaimana ayat-ayat tersebut seharusnya dituturkan.
* Pembetulan :
A : Jom sarapan? Aku belanja. Makan tengah hari, giliran ko pula!
B : Urmm, aku gemuruh la. Tak sedia lagi ni.
C : Hujung minggu ni kita pergi berkelah nak tak? Seronok tau!
D : Tenang la kawan, ko mesti boleh buat punya.
E : Awak, nak nombor telefon boleh tak? Nanti saya telefon awak.
F : Rimas la macam ni, tempat parkir takde!
Nah, lebih menarik dan sedap didengar bukan? Kita harus berbangga dengan bahasa kita kerana bahasa merupakan tanggungjawab kita bersama. Bagaimanakah nasib bahasa kita di masa depan sekiranya kita sendiri enggan menggunakannya dengan sebaik mungkin? Kita bahkan sengaja membiasakan diri dengan ayat yang bercampur aduk perkataannya. Sebelum mengakhiri bicara mata hati, perhatikan komik di bawah, dan berbicaralah dengan diri kita, warga yang mendukung amanah untuk memartabatkan bahasa :
Pendek kata, situasi-situasi yang telah saya titipkan merupakan satu kebiasaan yang tidak seharusnya kita jadikan amalan. Hal ini demikian kerana, bahasa merupakan anugerah dari Tuhan yang amat berharga sekaligus menjadi kayu ukur kepada jati diri kita. Sehubungan dengan itu, marilah kita menanamkan rasa cinta dan bangga akan bahasa kita. Fikir-fikirkanlah. Sekian, terima kasih...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan