Jumaat, 28 Januari 2011

SITUASI : FORUM BAHASA

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke hujung laman;
Salam sejahtera pemanis kalam,
Buat sekalian pembaca budiman.

Pada pagi ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang amat menarik dengan saudara dan saudari pembaca sekalian. Ceritera bermula dengan pengembaraan menelusuri salah satu daripada laman web kegemaran saya, iaitu, Youtube. Sewaktu sedang berlegar-legar di ruangan atas talian ini, saya menemui satu rakaman video yang berkaitan dengan forum "Bahasaku Bahasa Nusantara" yang melibatkan tiga orang tokoh bahasa, setiap satu daripadanya berasal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tatkala melihat rakaman video tersebut, hati saya terdetik untuk memuat naik forum berkenaan ke laman blog saya. Hal ini bukan atas dasar suka semata-mata, sebaliknya, saya beranggapan bahawa isu yang dibincangkan dalam forum berkenaan berkait rapat dengan elemen pembelajaran Sosiolinguistik Melayu! Sebelum mengulas dengan lebih lanjut berkenaan forum tersebut, izinkan saya untuk meminjam deria pandang dan dengar pembaca sekalian.


Setelah selesai memerhati, dan menghayati rakaman video berkenaan forum "Bahasaku Bahasa Nusantara" saya terdetik untuk berbicara tentang peranan kita sebagai penutur bahasa Melayu. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam video di atas, budaya sesebuah masyarakat akan mempengaruhi perkembangan bahasa. Pernyataan berkenaan menurut saya mendukung makna perkembangan bahasa Melayu bergantung kepada amalan penggunaan bahasa tersebut dalam kalangan masyarakat penuturnya. Penggunaan bahasa yang saya ujarkan merujuk kepada aplikasi bahasa baik dalam pertuturan mahupun penulisan! Bayangkanlah nasib bahasa kita sekiranya masyarakat terus-menerus  menggunakan bahasa dengan sewenang-wenangnya. Perbuatan berbahasa yang saya istilahkan sebagai "sewenang-wenangnya" merujuk kepada aspek laras bahasa, unsur inteferensi dan sebagainya. Kita ambil satu contoh yang mudah, masyarakat di era globalisasi cenderung untuk mencipta ejaan atau singkatan yang bersifat sesedap sebutan. Gejala ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita mengkaji bahasa sistem pesanan ringkas (SMS), laman web sosial seperti Facebook serta pada ruangan chat yang disediakan oleh sebilangan kecil media penyiaran. 

Sebagaimana yang diutarakan oleh Profesor Dr. Abdul Hamid Bin Mahmood, kejayaan bahasa Melayu bergantung kepada sikap penuturnya, sama ada mereka yakin, sanggup ataupun tidak untuk menggunakan bahasa tersebut! Sebaliknya, masyarakat kita mulai hanyut di bawa arus bahasa-bahasa asing! Pernahkah kita terfikir tentang masa depan bahasa kita tatkala kita memilih untuk mengagungkan bahasa luar? Jika jawapannya adalah "YA" maka saya menyifatkan bahawa kita perlu menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya. Penggunaan bahasa slanga, bahasa rojak dan seumpamanya dalam status komunikasi sosial masih boleh kita pertimbangkan, tetapi bagaimana dengan aplikasi bahasa yang salah dalam situasi-situasi formal? Bukankah kita telah merendahkan martabat bahasa di luar sedar kita? Sudah tentu jawapannya, "Ya!". Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama memperbaiki penggunaan bahasa kita. Hal ini demikian kerana, sekecil-kecil khilaf yang kita lakukan dalam berbahasa boleh mendatangkan impak yang besar kepada bahasa kita. Tambahan pula, kita perlu yakin bahawa bahasa kita merupakan bahasa  yang terbaik, bahasa ilmu dan sudah tentu menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Renung-renungkanlah wahai sahabat-sahabatku kerna maju mundur bahasa itu letaknya pada tangan kita sendiri....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

INGATAN TULUS IKHLASKU