Kesopanan dan kesusilaan merupakan cabang Rukun Negara yang kelima. Berbicara tentang kesopanan dan kesusilaan, senario yang berlaku di perkarangan gelanggang futsal Kolej Za’ba benar-benar mencuit mata hati saya. Saya bersama empat orang rakan sekelas sedang asyik menonton perlawanan futsal. Di sebelah kiri saya, sekumpulan siswi yang lengkap berjersi bola sepak sedondon, sedang menjerit, melolong memberi sokongan kepada pasukan yang sedang bermain. Apa yang menarik perhatian saya adalah, cara siswi-siswi itu memberikan sokongan. Suara yang pada umumnya aurat bagi perempuan sebaliknya telah dikeluarkan semaksimum yang mungkin. Tidak cukup dengan itu, siswi-siswi berkenaan bahkan bertindak menggoncang “jaring” yang mengelilingi gelanggang futsal berkenaan. Semakin lama, suara mereka semakin kuat sehingga mencuit hati sahabat saya untuk menegurnya. Sapaan sahabat saya dibalas dengan nada yang agak santai, pada pandangan mata hati sayalah. Dan, mereka terus bersorak. Antara sorakan yang sempat saya rakamkan ialah :
Ahh, tue dia Ff Fc. Steady Ff Fc! Go Ff FC go! Go Mus*** go! Go Sal***! Try! Yeah, try! Goooaa…ahhh! It’s ok, it’s alright. Ff FC is the best!
Demikianlah sedikit sebanyak gambaran senario yang melibatkan siswi-siswi yang saya sifatkan sebagai “brutal”. Secara peribadinya, saya memahami situasi siswi-siswi berkenaan yakni mereka begitu bersemangat dan berkobar-kobar jiwanya tatkala menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan kegemaran mereka. Sehubungan dengan itu, mereka telah pun beraksi ala-ala pasukan sorak bagi pertandingan bola keranjang yang acapkali ditayangkan di kaca televisyen. Walau bagaimanapun, sebagai seorang insan yang bernama “wanita”, saya berpendapat bahawa, aspek kesopanan dan kesusilaan itu biarlah kekal terpelihara walau di mana jua berada. Tidak bermakna salah untuk kita menyokong pasukan kegemaran yang sedang beraksi, tetapi, alangkah eloknya jika perlakuan dan pertuturan kita diletakkan batas! Hal ini demikian kerana, adalah kurang enak dipandang mata para siswa tatkala melihat perlakuan dan pertuturan siswi-siswi berkenaan. Tambahan pula, perkarangan gelanggang dimonopoli oleh kaum Adam! Di samping itu, saya juga sempat menafsir bait-bait kata yang terungkap dari bibir siswi-siswi berkenaan. Selain daripada pencampuran antara Bahasa Inggeris dengan Bahasa Melayu, siswi-siswi terbabit menggunakan bahasa badan yang saya kira kurang sesuai untuk dipertontonkan dalam khalayak yang sebilangan besarnya lelaki.
Kesimpulannya, aspek kesopanan dan kesusilaan amat penting khasnya bagi seorang wanita. Justeru, wanita perlu menjaga tutur kata dan perilaku mereka ketika berada dalam keramaian. Bersorak itu boleh tetapi biarlah berpada-pada dan tetap memelihara kesopanan dan kesusilaan individu yang terlibat. Buat kaum Hawa termasuk diri saya sendiri, marilah kita sama-sama memelihara kesantunan diri. Mudah-mudahan…
Gambar sekadar hiasan |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan