Jumaat, 21 Januari 2011

SITUASI : KATA SAPAAN

Salam sejahtera,
Hari ini, saya telah mengikuti satu sesi wacana ilmu yang diberi judul "Isu-Isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa", bertempat di Dewan Seri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sesi tersebut berlangsung selama lebih kurang tiga jam dengan kehadiran tetamu jemputan, Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan. Saya amat tertarik dengan isu kata sapaan yang diutarakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan. Hal ini demikian kerana, di sekitar kampus, kata sapaan merupakan satu isu bahasa yang agak sensitif dan acapkali berlaku. Fikiran saya lantas menerawang, mengimbau perkongsian pengalaman seorang pensyarah yang dikenali dengan nama Dr. A. 

Menurut  Dr. A, sewaktu ketika dahulu, beliau pernah berhadapan dengan karenah seorang penuntut yang mengalami masalah untuk menemui dewan kuliah yang tertera pada jadualnya. Semasa pelajar berkenaan sedang diselubungi kebingungan, Dr. A muncul. Pelajar tersebut kemudiannya pantas mendapatkan Dr. A, lebih kurang begini pertanyaannya :

             Pelajar : Pak cik, taman U tujuh dekat mana?

Sudah terang lagi bersuluh, pelajar berkenaan telah melakukan kesalahan dari segi penggunaan kata sapaan. Hal ini demikian kerana, pada pendapat saya, pelajar berkenaan sama sekali tidak mengetahui asal usul individu yang ditemuinya. Cuba bayangkan perasaan pensyarah berkenaan taktala mendengar panggilan "pak cik" terlafaz dari bibir pelajar berkenaan, tentu parah bukan? Apa yang cuba saya kupaskan di sini ialah, semasa berada di kawasan kampus, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil seseorang individu dengan panggilan "pak cik", "mak cik", "kakak", "abang" dan seumpamanya. Hal ini kerana, sekiranya kita merasa ragu-ragu berkenaan status seseorang individu, elok bagi kita untuk membahasakan individu berkenaan sebagai "encik"  bagi lelaki dan "puan" atau "cik" bagi golongan wanita. Kata sapaan yang betul sangat penting untuk mengelakkan kita daripada mengguris perasaan orang lain. Sehubungan dengan itu, saya menyeru sekalian warga kampus termasuk diri saya sendiri agar berusaha untuk memperbaiki pemilihan kata sapaan sewaktu ingin bertanya pada mana-mana individu yang ditemui. Fikir-fikirkanlah...

Gambar sekadar hiasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

INGATAN TULUS IKHLASKU