Salam sejahtera,
Dek kebosanan yang kian erat mendakap hari-hari yang saya lalui, saya mengambil keputusan untuk menelusuri koleksi cerita Melayu yang saya miliki. Sudah lama benar rasanya saya tidak berkesempatan untuk melayan cerita-cerita Melayu. Setelah puas meneliti dan membuat timbang tara, saya memilih untuk menonton semula cerita yang diberi judul "Andartu Terlampau", keluaran syarikat penerbitan BIG Production Sdn.Bhd. Sedang saya asyik memerhatikan animasi yang digunakan pada permulaan cerita, pandangan mata saya terganggu dek deretan perkataan yang mencuit emosi. Hati kecil saya lantas berbicara, "Alahai bangsaku, kenapa kau gadai lagi nilai bahasamu?" Barangkali saudara dan saudari pembaca yang budiman sedikit keliru dalam menentukan isu pokok yang bakal saya utarakan. Dipendekkan cerita, perkongsian saya pada hari ini berkisar tentang permasalahan penggunaan kata sendi nama "di". Terlebih dahulu, perhatikan ayat di bawah :
Nama-nama, fakta-fakta, peristiwa, cerita yang digunakan dan/ disebut didalam filem ini hanyalah rekaan dan tidak didasarkan atas/ atau dikaitkan kepada sebarang peristiwa ataupun orang yang benar sama ada yang masih hidup atau pun sudah mati. Segala persamaan (jika ada) adalah tidak disengajakan. Filem ini dilindungi hak cipta Malaysia dan negara-negara lain. Segala penyalinan, peniruan atau penggunaan filem ini atau sebahagian daripadanya tanpa izin pemilik hak cipta adalah suatu kesalahan disisi undang-undang.
Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, izinkan saya berkongsi serba sedikit berkenaan takrifan kata sendi nama. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2004:252), kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Di samping itu, kata sendi nama "di" dieja terpisah daripada kata atau frasa nama yang mengikutinya. Perhatikan dua ayat di bawah :
- Ibunya bekerja di sekolah itu.
- Pengembara itu sesat di dalam hutan.
Merujuk kepada ayat di atas, perkataan sekolah dan dalam hutan merupakan frasa nama yang menunjukkan tempat. Sehubungan dengan itu, kata sendi nama "di" dieja secara terpisah. Berbalik kepada isu berkenaan "mukadimah" bagi movie "Andartu Terlampau", penyalahgunaan kata sendi nama "di" berlaku dalam dua perkataan iaitu "didalam" dan "disisi". Hal ini demikian kerana, perkataan "dalam" dan "sisi" mendukung makna letaknya sesuatu atau lebih ringkas, tempat. Oleh sebab itu, kata sendi nama "di" dalam mukadimah tersebut perlulah dijarakkan seperti berikut :
Nama-nama, fakta-fakta, peristiwa, cerita yang digunakan dan/ disebut di dalam filem ini hanyalah rekaan dan tidak didasarkan atas/ atau dikaitkan kepada sebarang peristiwa ataupun orang yang benar sama ada yang masih hidup atau pun sudah mati. Segala persamaan (jika ada) adalah tidak disengajakan. Filem ini dilindungi hak cipta Malaysia dan negara-negara lain. Segala penyalinan, peniruan atau penggunaan filem ini atau sebahagian daripadanya tanpa izin pemilik hak cipta adalah suatu kesalahan di sisi undang-undang.
Secara peribadinya, saya beranggapan bahawa, media massa khasnya media eletronik memainkan peranan yang penting dalam menjana dan memartabatkan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat setempat. Akhir kata daripada saya, maafkan kiranya tersasul bicara. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak, sekadar gusar memikirkan masa depan bahasa kita. Renung-renungkanlah....
Buat renungan bersama |
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan