Salam sejahtera,
Dalam kehidupan kita sehari-harian, secara langsung mahupun tidak langsung, kita acapkali menggunakan ungkapan yang berlapis. Sebagai contohnya:
Dalam kehidupan kita sehari-harian, secara langsung mahupun tidak langsung, kita acapkali menggunakan ungkapan yang berlapis. Sebagai contohnya:
- Ko tunggu sini, aku nak buang air jap.
- Ko ni buang tabiat ke apa? Semacam je aku tengok.
- Banyak cakap lah ko! Diam sikit boleh tak?
Berdasarkan tiga contoh yang dinyatakan di atas, adakah saudara dan saudari pembaca yang budiman bersetuju kiranya saya menyifatkan simpulan bahasa sebagai salah satu elemen wajib dalam pertuturan kita sehari-harian?
Hakikat di atas merupakan satu lumrah kehidupan yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya. Hal ini demikian kerana, tanpa kita sedari kita telah pun menggunakan ungkapan-ungkapan berlapis semasa berkomunikasi dengan orang di sekeliling kita. Ungkapan berlapis yang seringkali hadir mengiringi buah fikiran kita diistilahkan sebagai "simpulan bahasa". Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas kerana pada kebiasaannya, simpulan bahasa dibentuk oleh dua patah kata. Selain daripada mengandungi pengertian yang mendalam, simpulan bahasa lazimnya mendukung pengertian yang berbeza dengan makna sebenar bagi perkataan-perkataan yang membentuknya.
Berdasarkan tiga contoh yang dinyatakan di atas, saya menyifatkan bahawa, adakalanya simpulan bahasa itu memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan dialog yang lebih enak didengar dek halwa telinga kita. Hal ini demikian kerana, sebagai warga yang dibelenggu nilai kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan, pemilihan kata yang bersesuaian dan tertib amat dititikberatkan baik dalam pertuturan mahupun penulisan kita. Berbalik kepada contoh-contoh di atas, molek kiranya kita fahami makna simpulan bahasa yang digunakan oleh si penutur (1), (2) dan(3).
Penutur (1) menggunakan simpulan bahasa "buang air " bagi menggantikan perkataan yang kurang enak didengar iaitu "berak" atau "kencing". Penutur (2) pula memilih simpulan bahasa "buang tabiat" bagi menggambarkan perubahan sikap atau kelakuan rakannya melalui teguran yang berhemah sementara penutur (3) mengujarkan simpulan bahasa "banyak cakap" sebagai simbolik kepada keengganannya untuk mendengar celoteh daripada rakan yang lagaknya tidak ubah seperti murai tercabut ekor.
Sebagai kesimpulannya, simpulan bahasa boleh kita takrifkan sebagai sinonim dengan etika berbahasa dalam kalangan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana, dalam masyarakat Melayu, individu yang berbudi bahasa, sopan serta arif tentang adat resam dikatakan bijak berbahasa yakni bijak menyesuaikan bahasa dengan keadaan atau situasi penutur dan pendengarnya. Di samping itu, bahasa dapat menunjukkan hati budi penuturnya yakni bahasa cerminan hati budi manusia. Justeru, berbahasalah sebaik yang mungkin tanpa menjejaskan ketertinggian norma masyarakat kita yang sangat mementingkan aspek kesantunan berbahasa. Renung-renungkan...
Sekian, terima kasih.
Sumber:
Terima kasih dengan perkongsian ilmu ini. Banyak membantu dalam tugasan saya.
BalasPadam