Salam sejahtera,
Dalam keletihan yang masih bersisa saya mengambil keputusan untuk melayari laman sosial yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat seantero dunia, iaitu Facebook. Tatkala sedang asyik meninjau status rakan-rakan saya, saya dikejutkan dengan status yang ditulis oleh seorang wanita. Terkedu sejenak saya dibuatnya. Saya bahkan merasa kelu untuk menggambarkan status profil berkenaan. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menilai bahan grafik yang saya sertakan di bawah :
Sekadar renungan kita bersama. |
Saya menghela nafas panjang setelah membaca status berkenaan. Hal ini demikian kerana, wanita berkenaan menggunakan bahasa yang sangat kasar contohnya, "mampos", "celaka", "sial", "setan" dan "mati lagi baik lah". Apa yang ingin saya terbitkan sebagai isu adalah penggunaan bahasa yang kasar. Di samping itu, saya ingin bertanya kiranya laman sosial Facebook itu merupakan medium untuk mengherdik dan menyumpah seranah kah? Ya, saya akui manusia tidak lepas dari kekhilafan serta acapkali dimonopoli dek emosi negatif.
Merujuk kepada senario di atas, ingin saya usulkan berkenaan penggunaan bahasa kiasan. Hal ini demikian kerana, penulisan yang menggunakan bahasa kiasan merupakan penulisan yang halus. Dalam erti kata lain, individu yang mengenali ketertinggian nilai bahasa kiasan sudah tentu akan memilih bahasa kiasan untuk menggantikan kata-kata yang kurang enak dibaca. Sejajar dengan norma masyarakat, bahasa kiasan merupakan satu cara untuk mengelakkan seseorang individu daripada menulis sesuatu perkara yang boleh mengundang rasa malu, takut atau kurang manis apabila dibaca oleh orang lain.
Akhir kata daripada saya, penggunaan bahasa kiasan sesuai dijadikan satu alternatif yang bijak dan positif sekiranya kita sedang berhadapan dengan emosi yang tidak menentu. Di samping menunjukkan kemampuan kita untuk menguruskan emosi, bahasa kiasan melambangkan tingginya nilai budi bahasa dan kebijaksanaan kita dalam berbahasa. Renung-renungkanlah.
**Saya sama sekali tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya berhasrat untuk menjadikannya satu iktibar dan panduan pada masa akan datang. Sesungguhnya, tiada manusia yang terlepas dari cengkaman kekhilafan tetapi kita pastinya boleh berusaha ke arah kebaikan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan