Salam sejahtera,
Hari ini bertarikh 14 Februari 2011, bersamaan dengan sambutan Hari Kekasih atau nama komersialnya "Valentine's Day"! Barangkali bunyinya kedengaran janggal bagi saya membincangkan perihal cinta di ruangan blog ini. Sebelum pergi kepada isu dengan lebih lanjut, ingin saya tegaskan bahawa, makna cinta adalah berbeza bagi setiap individu. Cinta bukan hanya kepada keluarga dan yang mencintai tetapi, cinta juga dituntut dalam memelihara serta memulihara kedudukan sesuatu bahasa!
Jika dalam percintaan sesama manusia kita mencuba untuk setia, mengapa tidak kita usahakan untuk setia terhadap bahasa kita yakni bahasa Melayu?
Menurut Asmah Hj.Omar (2002:62), setia terhadap bahasa bermaksud seseorang penutur yakin dengan kemampuan bahasa sebagai alat pemikiran dan alat komunikasi. Sebagaimana kita mencintai dan mencuba untuk setia dengan seseorang dalam sesebuah hubungan percintaan, begitu jugalah cinta dan setia yang dikehendaki dalam menjaga nilai bahasa! Tambahan pula, menurut pensyarah Sosiolinguistik Melayu, Dr. Siti Saniah, setia tidak bermakna benci! Maknanya, sekiranya kita memilih untuk setia pada bahasa Melayu tidak bermakna kita secara total akan menolak bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil dan seumpamanya. Dalam erti kata lain, kita akan mempelajari bahasa-bahasa asing yang lain tanpa mengabaikan kedudukan dan fungsi bahasa kita sendiri, iaitu bahasa Melayu. Sebagaimana dalam percintaan, mencintai si A tidak bermakna kita langsung tidak bertegur sapa dengan si B, begitulah jua hakikatnya dalam mencintai bahasa.
Berbalik kepada unsur cinta dan setia, Asmah Hj. Omar (2002:64) ada menyebut, katanya:
Dengan setia bahasa, timbullah rasa cinta yang bermakna bahawa kita mesti memelihara kedudukan bahasa berkenaan supaya tidak tersisih dari kehidupan masyarakatnya.
Merujuk kepada pernyataan di atas, sikap cinta bahasa memerlukan kita menjaga kedudukan bahasa yang menjadi milik kita bersama. Cinta dan setia pada bahasa dapat ditonjolkan melalui penggunaan bahasa yang betul baik dari segi sebutan, ejaan, nahu, pemilihan kata serta kesesuaian bahasa yang dihasilkan dengan situasi penuturnya.
Tuntasnya sebagai penutur natif bahasa Melayu, kita harus menyemai rasa cinta dan setia pada bahasa dengan menjaga dan memelihara kedudukannya. Tidak salah untuk kita mempelajari bahasa-bahasa yang lain sekiranya kita mampu untuk berbahasa dengan sebaik yang mungkin dan tidak mencampur adukkan bahasa Melayu dengan bahasa yang telah dipelajari tadi. Akhir kata daripada saya, mencintai bahasa Melayu bermakna memelihara nilai dan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan di negara kita.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan