Ahad, 20 Februari 2011

SITUASI: PANTUN DAN BAHASA

                                Mencari timba si anak dara,
                                Di bawah sarang burung tempua;
                                Salam sejahtera pembuka bicara,
                                Selamat membaca buat semua. 

19 Februari 2011 merupakan tarikh keramat bagi badan-badan media elektronik yang ada di negara kita, Malaysia. Hal ini demikian kerana, pada tarikh tersebut, pihak media sama ada radio mahupun televisyen telah diberikan pengiktirafan berdasarkan beberapa kategori antaranya:
  1. Anugerah Kapsul Radio Terbaik
  2. Anugerah Pengimbang Muzik Radio Terbaik
  3. Anugerah Rekaan Set TV Terbaik
  4. Anugerah Promo/Montaj/Teaser TV Terbaik
Apa yang menarik mata hati saya untuk berbicara adalah aspek penggunaan pantun dalam kalangan pengacara yang mengemudikan malam Anugerah Seri Angkasa 2010 tersebut. Berikut merupakan pantun tunggal yang sempat saya rakamkan:

                                Orang berbudi kita berbahasa,
                                Orang memberi kita merasa.  

Dua baris pantun di atas telah diungkapkan oleh seorang pengacara wanita yang anggun dan elegan mengenakan busana penuh dengan kesopanan. Hati saya lantas terdetik, seterusnya berbicara sendiri, "Alangkah indahnya bahasa tatkala dilagukan dalam serangkap pantun." 

Apa yang saya maksudkan ialah pantun merupakan salah satu medium yang memanipulasi bahasa secara kreatif dan bermakna. Tambahan pula, pantun terkenal dengan sifatnya yang terdiri daripada pemilihan diksi yang terbaik sekaligus menghasilkan padanan pembayang dan maksud yang terbaik! Pendek kata, penghasilan pantun yang menarik dan memukau halwa telinga memerlukan pemilihan gaya bahasa yang menarik.

Sehubungan dengan taraf pantun sebagai khazanah Melayu yang berharga, molek kiranya pantun terus-menerus diamalkan dalam pelbagai bentuk majlis misalnya, majlis perkahwinan, majlis penyampaian anugerah dan seumpamanya. Hal ini demikian kerana, di samping memelihara warisan Melayu yang unggul iaitu pantun, bahasa kebanggaan kita yakni bahasa Melayu akan turut terpelihara kedudukannya. Dalam erti kata lain, apabila kita menuturkan pantun yang baik, kita akan menggunakan bahasa Melayu yang bervariasi gayanya. Seterusnya, kita akan mengenali, menghayati dan memahami nilai bahasa dalam mengungkapkan perasaan dan buah fikiran kita. Benarkah begitu saudara dan saudari pembaca sekalian? Fikir-fikirkanlah. 

                               Bunga dedap di atas para,                 
                               Anak Dusun pasang pelita;
                               Kalau tersilap tutur bicara,
                               Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian, terima kasih. 

Rujukan:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

INGATAN TULUS IKHLASKU