Ahad, 6 Mac 2011

SITUASI: SEKALI

Salam sejahtera,
"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali."
Tatkala terlihat ungkapan di atas, hati saya terdetik untuk mengulasnya. Saya sama sekali tidak berniat untuk mengubah atau menafikan penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita, akan tetapi, wajar kiranya ungkapan di atas kita perhati, dan hayati dengan teliti. Apakah rasional saya mengajak saudara dan saudari pembaca untuk merenung ungkapan di atas?

Pertama, perhatikan perkataan sekali yang tertulis di akhir ungkapan tersebut. Bukankah sekali bermaksud satu kali? Berdasarkan ungkapan tersebut, wajar atau tidak sekali yang menjadi pilihan? Jawapannya, sama sekali tidak wajar! Hal ini demikian kerana, ungkapan di atas boleh menarik pembaca untuk menyalahtafsirkan makna sebenar yang ingin disampaikan oleh masyarakat terdahulu. Seperti yang kita telah sedia maklum, generasi abad ke-21 cenderung untuk mempersoalkan sekecil-kecil perkara yang berlaku di sekelilingnya. Apakah jawapan yang sesuai sekiranya mereka bertanya, "Buat jahat jangan sekali. Maknanya, kalau lebih tak salah kan?"

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, elok kiranya kita menelusur makna se- yang didukung oleh perkataan sekali. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1402), se ialah awalan yang bermaksud satu yakni sekali pada ungkapan di atas mendukung makna satu kali. Dalam kalangan masyarakat Kelantan misalannya, perkataan se yang disebut sebagai "so" mendukung makna satu atau tunggal. Antara contoh lain bagi penggunaan perkataan berawalan se- adalah seperti berikut:
  1. sedunia yang bermakna satu dunia
  2. setempat yang bermaksud satu tempat sahaja.
Berbalik kepada ungkapan di atas, saya beranggapan bahawa lebih elok dan manis didengar sekiranya perkataan sekali digantikan dengan sesekali. Selain daripada mampu mengelakkan wujudnya pentafsiran yang salah, masyarakat sekaligus akan diingatkan agar jangan sesekali berbuat jahat serta berpada pula dalam menabur kebaikan sesama insan. 

Sesungguhnya khilaf itu bersifat bilazim yakni menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita sehari-harian. Walau bagaimanapun, kita sebagai manusia harus saling mengingati dan membuat teguran secara berhemah. Hal ini demikian kerana, teguran yang berhemah bukan sahaja memberi kesan yang mendalam bagi pendengarnya, bahkan, mampu menjauhkan kita dari perasaan dendam dan hasad dengki. Akhir kata, bahasa yang baik mampu melembutkan hati yang keras sekaligus menjadi wahana untuk menyampaikan pesanan yang mendalam dan berguna demi masa depan.

Buat baik berpada-pada

Sekian, terima kasih.

SITUASI: BERBEZA TAPI SAMA

Salam sejahtera,
Sendirian di rumah sewa mengundang bosan bertamu di kamar hati saya. Hati kecil saya lantas berbicara, katanya "Daripada duduk tak tentu hala, ada baiknya menulis di laman blog." Sehubungan dengan itu, saya lantas mendekati komputer riba dan melayari laman Bicara Mata Hati ini. Isu sosiolinguistik yang ingin saya ketengahkan adalah berkenaan bahasa lewah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:934), lewah ialah berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat. Sepanjang minggu yang kelapan bagi sesi kuliah semester enam, berikut merupakan antara contoh bahasa lewah yang tertanggap dek cuping telinga saya:
  1. Tiga punca-punca berlakunya...
  2. Perjalanan yang berliku-liku liku...
  3. Piala Monsun Cup yang diadakan di...
  4. Asyik main video game...
  5. Namun sekadar cuma...
Bahasa lewah merupakan fenomena lazim dalam kalangan masyarakat kita. Lewah terjadi apabila dalam sesebuah pertuturan itu terkandung penggunaan kata yang berlebihan dari keperluannya. Ayat (1) dan ayat (2) boleh diperbaiki seperti berikut:
  1. Tiga punca / Punca-punca berlakunya...
  2. Perjalanan yang berliku...
Ayat (3) dan ayat (4) menjadi bahasa yang lewah apabila penutur mencampuradukkan dua bahasa yakni bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mendukung makna yang sama meski berbeza ejaan dan sebutannya. Perkataan piala dan cup dalam ayat (3) mendukung makna seerti iaitu cawan yang berkaki dan diperbuat daripada perak atau emas yang lazimnya digunakan sebagai hadiah dalam sesebuah pertandingan. Perkataan main dan game dalam ayat (4) pula bermaksud sesuatu yang dilakukan untuk bersenang-senang atau bersuka-suka. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan pembetulan bagi ayat (3) dan ayat (4):
  1. Piala Monsun yang diadakan di...
  2. Asyik main video...
Bagi ayat (5), perkataan sekadar dan cuma turut mendukung makna yang sama iaitu hanya atau semata-mata. Justeru, salah satu daripadanya perlu digugurkan seperti berikut:
  1. Namun sekadar...
Meskipun sesetengah individu menganggap lewah sebagai ciri bahasa yang unik, akan tetapi, adalah lebih baik sekiranya kita menjauhi diri dari unsur pleonasme sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan kita. Barangkali agak sukar bagi saya dan juga sekalian pembaca, tetapi harus diingat bahawa, dengan adanya kesungguhan tiada yang mustahil di muka bumi ini. Akhir kata daripada saya, hayatilah peribahasa di bawah:
"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya."
Gambar sekadar hiasan
Sekian, terima kasih.  


Sabtu, 5 Mac 2011

SITUASI: BAHASA ARGOT

Salam sejahtera,
Pada hari ini, saya ingin berbicara tentang bahasa argot. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:77), argot ialah bahasa yang khusus digunakan oleh kumpulan sosial tertentu dan bersifat rahsia. Pensyarah Sosiolinguistik Melayu (BML 3073) pula mendefinisikan argot sebagai jargon yang khusus bersifat setempat atau kumpulan sosial atau kumpulan sepekerjaan, terutama sekali dalam kalangan masyarakat kelas bawahan.

Bagi mendalami makna bahasa argot, bersama kita memerhati dan menghayati contoh  yang sempat saya catatkan di bawah:

Pecat
Masyarakat di negeri Kelantan menyebut “pecat” bagi menggambarkan perbuatan “menanggalkan” manakala menurut bahasa Melayu baku, “pecat” bermaksud melepaskan atau memberhentikan.
Timun Cina
Masyarakat di Kelantan mengistilahkan “tembikai” sebagai “timun Cina”. Hal ini demikian kerana, berdasarkan etimologi, tembikai diperkenalkan oleh masyarakat Cina sekaligus menjadikannya sinonim dengan masyarakat berkenaan.
Bekwoh
Perkataan “bekwoh” merupakan adaptasi secara langsung daripada istilah bahasa Inggeris yang bermaksud “big work”. Sehubungan dengan itu, masyarakat di Kelantan menyebut “bekwoh” bagi melambangkan aktiviti kenduri. Walau bagaimanapun, hal tersebut sama sekali berbeza dengan fahaman masyarakat kedah yang menggambarkannya sebagai merayau!
Gerek
Perkataan “gerek” mendukung dua makna yang berbeza mengikut kawasan penuturnya. Hal ini demikian kerana, di Sarawak, “gerek” mendukung makna kekasih manakala masyarakat di negeri Kedah menyebut “gerek” bagi melambangkan basikal!
Menarik bukan? Demikianlah indahnya bumi Malaysia yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum serta beraneka pula bahasanya. Mengenali bahasa orang lain tidak bermakna kita membelakangkan bahasa kita sendiri. Dalam erti kata lain, kepelbagaian bahasa mampu memperbanyakkan kosa kata sekaligus menambahkan pengalaman dan pengetahuan berbahasa kita. Apa yang penting adalah kebijaksanaan kita dalam mengaplikasikan bahasa mengikut kesesuaian situasi dan sasarannya.
"Tuhan menjadikan manusia dengan pelbagai warna kulit dan bangsa."
                                                                             al-Rum, 22

p/s: Kiranya ada terlanjur, terkhilaf bicara...mohon ditegur dengan bijaksana.

Sekian, terima kasih.


SITUASI: LARAS BAHASA MEDIA

Salam sejahtera,
Setelah sekian lama menyepikan diri dari dunia blog, saya berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa di laman ini. Pada hari ini, saya akan berkongsi serba sedikit tentang laras bahasa media elektronik. Sebelum menelusur isu dengan lebih mendalam, ingin saya ketengahkan definisi dan konsep laras dan media elektronik.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:893), laras bahasa ialah variasi bahasa berdasarkan penggunaannya misalnya sebagai bahasa klasik, bahasa istana, bahasa sains dan lain-lain. Media elektronik pula bermakna alat atau saluran komunikasi yang berupa atau yang menggunakan alat-alat elektron moden seperti radio, televisyen dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007:1011).

Saya memilih untuk mengupas isu berkenaan laras bahasa media elektronik setelah mendengar perkongsian menarik daripada seorang pensyarah. Dua contoh di bawah merupakan bukti laras bahasa media elektronik yang diketengahkan oleh beliau:
  1. Remp-it
  2. Ngangkung
Dua contoh di atas amat sinonim dengan bahasa yang digunakan dalam media elektronik khasnya bidang perfilemen. Menurut beliau, kedua-dua contoh mendukung peranan bahasa sebagai wahana untuk menarik perhatian penonton. Dalam erti kata lain, bahasa yang dipilih mengandungi unsur-unsur eksploitasi khususnya dari segi memanfaatkan emosi penonton.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1310), rempit mendukung makna menyebat dengan rotan atau menyesah. Akan tetapi, Rempit yang diperkatakan dalam bidang perfileman menjurus kepada permasalahan sosial remaja iaitu aktiviti permotoran yang lazimnya melebihi had laju serta mengingkari peraturan jalan raya. Bagaimana dengan perkataan Ngangkung? Secara logiknya, nyangkung berasal daripada perkataan cangkung yang mendukung makna duduk dengan kaki berlipat tetapi punggung tidak mencecah lantai yakni tertinggung.

Berbalik kepada isu eksploitasi bahasa dalam bidang media elektronik, kedua-dua judul dipilih berikutan minat dan persepsi masyarakat yang cenderung untuk menonton filem berunsur lucah. Rempit dan nyangkung yang diadaptasi daripada cangkung memberi gambaran awal bahawa filem berkenaan mengandungi unsur-unsur yang kurang sesuai dijadikan tontonan umum. Akan tetapi, judul tersebut sekadar judul untuk menggamit perhatian penonton, dan itulah yang dinamakan eksploitasi!

Dalam masa yang sama, penggunaan bahasa yang sedemikian rupa akan menjejaskan martabat bahasa kita sebagai bahasa yang terulung kedudukannya. Bukankah media memainkan peranan dalam memelihara bahasa dan menjauhi diri dari merosakkannya? Jika media terus-menerus mengeksploitasi masyarakat, bagaimana dengan generasi terkemudian yang telah dicampur aduk mindanya dengan bahasa-bahasa yang bersifat arbitrari? Jangan sesekali kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai penutur bahasa yang telah pun meluas penggunaannya. Renung-renungkanlah jika kita mencintai bahasa.

Sekian, terima kasih.


Ahad, 27 Februari 2011

SITUASI: FORMAL

Salam sejahtera,
Debaran praktikum kian terasa. Semakin kuat menyesakkan dada. Acapkali saya bertanya pada diri, "Bersediakah aku untuk menghadapi semuanya?" Terbayang wajah kepala sekolah yang tegas, barisan guru dedikasi, para pelajar yang celik teknologi, serta masyarakat yang serba tahu kini. Meremang bulu tengkuk tatkala membayangkan saat-saat menjalani praktikum sebagai seorang pendidik. 

Melalui kursus EDU 3056, Pengajaran Teknologi dan Penaksiran 2, mahasiswa dan mahasiswi yang bakal mengharungi alam pengajaran sebenar telah diketengahkan dengan pelbagai aspek pedagogi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1157), pedagogi ialah kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran. Pedagogi menjadi bekalan terpenting bagi bakal guru di seantero dunia.

Persoalannya sekarang, apakah perkaitan antara pedagogi dan penggunaan bahasa di bilik darjah kelak? Tanpa melengahkan masa, molek kiranya kita sama-sama menelusur persoalan berkenaan.

Berhubung persoalan yang dibangkitkan, bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu yang utama di sekolah. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi negara kita, Malaysia. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah sedang berlangsung, para pendidik akan menggunakan bahasa Melayu dalam kadar yang maksima. Permasalahan wujud apabila bahasa yang digunakan bercampur aduk dengan bahasa slanga atau bahasa pasar dan seumpamanya.

Bukannya saya menunding jari kepada sesiapa, akan tetapi, saya merujuk situasi pengajaran mikro dan makro yang telah pun berlangsung. Bahkan, saya sendiri turut ditegur kerana tersasul menggunakan dialek (sangat memalukan)! Sehubungan dengan itu, baik ketika menyoal, membuat penerangan, mahupun merangsang minda, bahasa Melayu wajar digunakan sebaik yang mungkin. Sememangnya kita tidak mampu untuk menjauhkan diri dari kekhilafan kerana fitrah manusia tiada yang sempurna. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna bahawa kita tidak perlu berusaha untuk memperbaiki penggunaan bahasa kita.

Akhir kata daripada saya, kiranya ada terlanjur bicara...tegurlah secara berhemah. Sesungguhnya bukan niat mengaibkan sesiapa, sekadar renungan dan tanggungjawab bersama. Fikir-fikirkanlah.
Gambar sekadar hiasan

SITUASI: VARIASI BAHASA

Salam sejahtera dan selamat petang, 
Pada petang ini saya mengisi masa yang terluang dengan berlegar-legar di pangkalan data atas talian atau istilah komersialnya online. Entah mengapa, hati saya terdetik untuk berbicara serba sedikit tentang konsep multilingualisme yang wujud di negara kita Malaysia. Multilingualisme bermaksud wujud kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh etnik-etnik tertentu dalam sesebuah negara yakni negara kita, Malaysia. 

Sejajar dengan latar belakang dan asal usul saya, saya akan berkongsi serba sedikit tentang dialek suku kaum Bidayuh di Sarawak. Umumnya, bahasa Bidayuh terbahagi kepada empat dialek utama iaitu:
  1. Dialek Biatah
  2. Dialek Bau-Jagoi
  3. Dialek Bukar-Sadong
  4. Dialek Selako-Lara 
Sebagaimana bahasa-bahasa etnik yang lain, bahasa Bidayuh turut mempunyai elemen vokal, konsonan dan diftong. Meskipun begitu, bahasa Bidayuh merupakan bahasa yang agak unik jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain yang dituturkan oleh pelbagai suku kaum dan etnik di Sarawak. Hal ini demikian kerana, bahasa Bidayuh akan mengalami perubahan gerak gaya dan alunan suara mengikut kawasan dan daerah tertentu. Sebagai contoh, perkataan makan disebut secara berbeza oleh suku kaum Bidayuh yang berada dalam lingkaran kawasan Bukar-Sadong dan Biatah, yakni Bukar-Sadong menyebutnya sebagai ma-an manakala suku kaum Bidayuh Biatah menyebutnya sebagai man

Bagi mengukuhkan pemahaman melalui kepelbagaian contoh, sudi kiranya saudara dan saudari pinjamkan saya deria pandang masing-masing:

Bahasa
Melayu
Singai/
Jagoi
Biatah
Bukar /
Sadong
Selako /
Lara
makan

man
man
ma-an
uman
minum

nuok
nok
nyihup
man pain
nasi

tubi
tubik
sungkoi
nasi
rumah

bori
arun / ramin
rumin
rumin
ada

ogi
agi
aduh / adueh
uni
tiada

do’-i
mating
anyap
kati
cakap

sina
minyu
nyanda
kasena
sejuk

modud
madud
bebi
dingin /
panut
hari

onu
anu
andu
ano
kampung

kupuo
rais
binua
kampung

Bagaimana? Menarik bukan? Sebagai kesimpulannya, bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Keupayaan berbahasa membolehkan kita memberi dan menerima maklumat. Di samping itu, melalui bahasa kita akan memperoleh pengalaman dan pembelajaran yang baru. Akhir kata daripada saya, hayatilah bicara di bawah:
"Tuhan menjadikan manusia dengan pelbagai warna kulit dan bahasa."                                   

 Sekian, terima kasih. 


Rujukan:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Suku_Bidayuh
http://headsteadi.com/2008/03/03/keeping-the-bidayuh-heritage-alive
http://www.scribd.com/doc/11439745/History-of-Serian-Bidayuh-in-Samarahan-Division-Chapter-2

Ahad, 20 Februari 2011

SITUASI: PANTUN DAN BAHASA

                                Mencari timba si anak dara,
                                Di bawah sarang burung tempua;
                                Salam sejahtera pembuka bicara,
                                Selamat membaca buat semua. 

19 Februari 2011 merupakan tarikh keramat bagi badan-badan media elektronik yang ada di negara kita, Malaysia. Hal ini demikian kerana, pada tarikh tersebut, pihak media sama ada radio mahupun televisyen telah diberikan pengiktirafan berdasarkan beberapa kategori antaranya:
  1. Anugerah Kapsul Radio Terbaik
  2. Anugerah Pengimbang Muzik Radio Terbaik
  3. Anugerah Rekaan Set TV Terbaik
  4. Anugerah Promo/Montaj/Teaser TV Terbaik
Apa yang menarik mata hati saya untuk berbicara adalah aspek penggunaan pantun dalam kalangan pengacara yang mengemudikan malam Anugerah Seri Angkasa 2010 tersebut. Berikut merupakan pantun tunggal yang sempat saya rakamkan:

                                Orang berbudi kita berbahasa,
                                Orang memberi kita merasa.  

Dua baris pantun di atas telah diungkapkan oleh seorang pengacara wanita yang anggun dan elegan mengenakan busana penuh dengan kesopanan. Hati saya lantas terdetik, seterusnya berbicara sendiri, "Alangkah indahnya bahasa tatkala dilagukan dalam serangkap pantun." 

Apa yang saya maksudkan ialah pantun merupakan salah satu medium yang memanipulasi bahasa secara kreatif dan bermakna. Tambahan pula, pantun terkenal dengan sifatnya yang terdiri daripada pemilihan diksi yang terbaik sekaligus menghasilkan padanan pembayang dan maksud yang terbaik! Pendek kata, penghasilan pantun yang menarik dan memukau halwa telinga memerlukan pemilihan gaya bahasa yang menarik.

Sehubungan dengan taraf pantun sebagai khazanah Melayu yang berharga, molek kiranya pantun terus-menerus diamalkan dalam pelbagai bentuk majlis misalnya, majlis perkahwinan, majlis penyampaian anugerah dan seumpamanya. Hal ini demikian kerana, di samping memelihara warisan Melayu yang unggul iaitu pantun, bahasa kebanggaan kita yakni bahasa Melayu akan turut terpelihara kedudukannya. Dalam erti kata lain, apabila kita menuturkan pantun yang baik, kita akan menggunakan bahasa Melayu yang bervariasi gayanya. Seterusnya, kita akan mengenali, menghayati dan memahami nilai bahasa dalam mengungkapkan perasaan dan buah fikiran kita. Benarkah begitu saudara dan saudari pembaca sekalian? Fikir-fikirkanlah. 

                               Bunga dedap di atas para,                 
                               Anak Dusun pasang pelita;
                               Kalau tersilap tutur bicara,
                               Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian, terima kasih. 

Rujukan:

INGATAN TULUS IKHLASKU