Khamis, 10 Februari 2011

SITUASI: NILAI BAHASA

Salam sejahtera,
Hari ini merupakan hari yang sangat panjang dan memenatkan. Hal ini demikian kerana, jadual kuliah saya pada hari ini begitu padat. Walau bagaimanapun, saya telah memperoleh satu input yang amat menarik berkenaan nilai bahasa. Nilai bahasa yang saya maksudkan ialah faedah yang diperoleh daripada penggunaan bahasa dalam urusan harian. Ilham mengenai nilai bahasa ini diketengahkan oleh pensyarah bagi kursus EDU3056, Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran. Menurut pensyarah berkenaan, matlamat kurikulum bahasa Melayu sekolah menengah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan urusan harian. Antara urusan harian yang disebut adalah berbahasa untuk mendapatkan perkhidmatan, berinteraksi untuk menjalin dan mempererat hubungan mesra dan berunding secara santun untuk mendapat persetujuan dan kata sepakat.

     Nilai bahasa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah, berbahasa dengan tujuan berunding secara santun untuk mendapat persetujuan dan kata sepakat. Berhubung dengan tingginya nilai bahasa Melayu kita, ingin saya meminjam sejenak deria pandang saudara dan saudari pembaca sekalian. Petikan di bawah merupakan ringkasan cerita berkenaan sebuah kemalangan yang melibatkan seorang siswi dan orang awam. 
Hendak dijadikan cerita, seorang siswi memandu kereta setelah selesai sesi kuliahnya. Sewaktu siswi berkenaan sedang dalam kiraan mahu memulakan perjalanan, seorang penunggang motosikal tiba-tiba muncul dan melanggar kereta siswi berkenaan. Ekoran daripada itu, penunggang motosikal tersebut telah pun mengugut dan meminta ganti rugi daripada siswi terbabit. Siswi yang berada dalam keadaan panik dan gugup terus menerus mendapat tekanan daripada penunggang motosikal berkenaan. Tatkala keadaan menjadi semakin genting, pensyarah A yang sedari tadi memerhatikan senario antara siswi dan penunggang motosikal tersebut, lantas menghampiri mereka. Pensyarah A menyatakan bahawa beliau mengetahui muslihat penunggang motosikal terbabit. Pada mulanya, penunggang motosikal berkenaan masih berdegil dan terus mendesak. Akan tetapi, setelah pensyarah A bersuara dengan gaya pengucapan yang sopan dan teratur, penunggang motosikal tersebut akhirnya mengaku bersalah kerana dengan sengaja telah melanggar kereta siswi berkenaan. Dipendekkan cerita, siswi berkenaan terselamat dari membuat sebarang bayaran ganti rugi manakala si penunggang motosikal telah pun gagal dalam rencananya untuk mengenakan siswi itu tadi. 
      Barangkali seni kepengarangan saya kurang menarik. Akan tetapi, apa yang cuba saya sampaikan ialah, bahasa berperanan besar dalam menyelesaikan sesuatu masalah secara santun seperti yang ditonjolkan oleh pensyarah A dalam insiden di atas. Lazimnya, seseorang individu itu cepat panik dan gugup sekaligus terdorong untuk menjadi kelam kabut tatkala berhadapan dengan sesuatu masalah. Sebagaimana yang dihadapi oleh siswi yang diceritakan oleh pensyarah saya, individu acapkali gagal untuk mengaplikasikan bahasa yang terampil sewaktu berhadapan dengan permasalahan walhal bahasa mempunyai nilainya yang tersendiri iaitu sebagai medium penyelesaian masalah!

      Bayangkanlah bagaimana satu peristiwa itu boleh dirungkaikan tanpa adanya komunikasi atau kemahiran berbahasa yang tinggi? Bukan sahaja ketertinggian bahasa yang dituntut, tetapi, aspek kesesuaian bahasa dengan situasi juga perlu dititikberatkan. Berbalik kepada nilai bahasa, bukankah sudah terang lagi bersuluh bahawasanya bahasa merupakan wadah untuk kita mencapai kata sepakat tatkala kita disapa oleh insiden yang tidak terduga? Fikir-fikirkanlah saudara dan saudari pembaca sekalian yang saya hormati sekalian. Sesungguhnya bahasa kita yakni bahasa Melayu, memiliki nilai yang amat tinggi, khasnya bagi memenuhi keperluan diri sama ada dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan urusan harian. Akhir kata daripada saya, cintailah bahasa kita kerana bahasa yang kita tuturkan sehari-harian itu mempunyai nilai  yang tidak terbeli dek harta yang kita miliki. Renung-renungkanlah.

Rabu, 9 Februari 2011

SITUASI: "DI KALANGAN"

Salam sejahtera,
Pada 25 Januari 2011 yang lalu, saya tergerak untuk menonton televisyen di foyer blok satu Kolej Harun Aminurrashid. Kebetulan pada waktu itu saya menunggu seorang rakan untuk menemani saya makan malam. Memandangkan saya tiba di kolej kediaman agak lewat (saya merupakan warga unit kediaman luar kampus), saya hanya sempat menonton dan mendengar siaran berita sukan. Stesen televisyen yang saya tonton sudah tentu syarikat penyiaran yang tidak asing lagi iaitu TV3.
           
Semasa saya sedang asyik menonton hebahan berita berkenaan sukan yang dikemudi oleh pembaca yang saya yakin tidak asing lagi namanya,  saudara Fadzil Mohd Rais (maafkan saya sekiranya tersilap). Beliau membuat sedikit ulasan berkenaan aspek keselamatan para pelumba yang terlibat dengan program “Le Tour De Langkawi”. Berikut merupakan sebahagian daripada teks yang sempat menapak di ruangan minda saya (sekali lagi maafkan jika berlaku kekhilafan) :

“…Mungkin di kalangan pelumba, kemalangan merupakan perkara biasa. Akan tetapi, aspek keselamatan seharusnya dipertingkatkan dan tidak pula dipandang enteng…”
Merujuk kepada fenomena penggunaan bahasa yang terkini, penggunaan “di kalangan” telah diubah kepada “dalam kalangan”. Hal ini demikian kerana, terdapat beberapa hujah yang telah diutarakan oleh para cendekiawan bahasa kita. Sebelum itu, mengapa agaknya saya membangkitkan isu ini? Secara peribadinya, saya selalu berhadapan situasi penggunaan “di kalangan”, baik kekhilafan saya sendiri mahupun individu yang berada di sekeliling saya.

Tanpa melengahkan masa, marilah kita bersama mendalami rasional penggunaan “dalam kalangan” yang menggantikan “di kalangan”.  Terlebih dahulu baik “di” mahupun “dalam”, kedua-duanya tergolong di bawah kata sendi nama

Kata sendi nama “di”
Menurut Nik Safiah Karim et.al (2004:252), kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.
Contoh :
1.       Ibunya bekerja di sekolah itu.
**perkataan “sekolah” menunjukkan tempat.

Kata sendi nama “di” tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman sebaliknya digantikan dengan kata sendi nama “pada” (Nik Safiah Karim et.al, 2004:253).
Contoh :
1.       Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu.(bukan: Suasana amat tenang di pagi yang permai itu.)
**perkataan “pagi” menerangkan waktu maka tidak sesuai menggunakan kata   sendi nama “di”.

Kata sendi nama “dalam”
Menurut Nik Safiah Karim (2004:270), kata sendi nama “dalam” hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
Contoh :
1.       Dalam hal ini, kita semua setuju.
(bukan: Di dalam hal ini kita semua setuju.)
**perkataan “hal” membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.

Berbalik kepada isu penggunaan “di kalangan”, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya, perkataan “kalangan” mendukung makna lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Sehubungan dengan itu, anjakan “di kalangan” kepada “dalam kalangan” adalah wajar. Walau bagaimanapun, kita yakni manusia biasa tidak berupaya untuk menafikan kekhilafan sebagai satu elemen yang lazim dalam kehidupan kita sehari-harian. Justeru, usaha ke arah kebaikan merupakan sesuatu yang begitu penting untuk diterapkan dalam diri setiap individu. Kebaikan di sini bermaksud ikhtiar ke arah penggunaan bahasa dengan lebih baik. Selamat mencuba


SITUASI: MARRYBROWN


Salam sejahtera,

Hujung minggu yang lalu, saya bersama seorang sahabat telah berkunjung ke Kuala Lumpur. Berbekalkan niat untuk mencari barang keperluan, kami meletakkan Berjaya Times Square pada kedudukan paling atas bagi cadangan lokasi yang hendak dikunjungi.  Setibanya kami di Kuala Lumpur, sekitar pukul 11:15 pagi, hujan turun menyembah bumi. Syukur, kerana turunnya tidak lebat sekaligus membolehkan kami berjalan dari stesen bas Hang Tuah ke Berjaya Times Square dengan lebih mudah. Sejurus tiba di Berjaya Times Square, kami membuat rondaan atau dalam erti kata lainnya pemantauan sekilas pandang.

     Setelah mengambil masa dalam lingkungan sejam, perut saya mulai berlagu minta diisi. Tanpa melengahkan masa, saya lantas menyuarakan hasrat yang terbuku di hati…makan tengah hari! Kami berfikir sejenak, dan akhirnya kami memilih untuk menjamu selera di restoran Marrybrown. Dari jauh Marrybrown seolah-olah melambai meminta kami mempercepatkan langkah. Dari jauh juga kami dapat melihat dengan jelas “ucapan selamat datang” yang ditunjukkan oleh dua orang pekerja restoran tersebut. Perut saya kian menjerit, barangkali sudah dapat menghidu keenakan makanan yang bakal dijamu oleh saya.

       Sejurus sampai di restoran tersebut, kami disambut dengan mesra oleh dua orang pekerja lelaki. Bermula dengan ucap “Selamat datang” kami diperkenalkan dengan pelbagai jenis hidangan yang ditawarkan di Marrybrown. Soalan-soalan yang kami ajukan dilayan serta dijawab dengan penuh hemah. Dalam diam hati saya merasa kagum, “Bangganya menjadi sebahagian daripada warga yang berbudi bahasa ini!” Setelah merasa yakin dengan pilihan kami, kami terus melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Bilangan pengunjung sememangnya ramai. Sehubungan dengan itu, saya mengambil keputusan untuk membuat pesanan sementara sahabat saya “menjaga” tempat duduk.

       Setibanya di kaunter, saya disambut dengan senyuman mesra daripada salah seorang staf yang sedang bertugas. Berikut merupakan dialog di antara saya dan pekerja wanita tersebut :

                Pekerja  : Selamat datang cik. Nak makan kat sini atau bungkus?
                Saya        : (Sambil tersenyum) Urmm, makan kat sini.
                Pekerja  :  (Membalas senyuman saya) Cik nak makan apa?
                Saya        :  Dua set nasi ayam Marrybrown, dan chicken burger.
                Pekerja  : Air? Nak pepsi ke? Atau mirinda? Atau strawberry?
                Saya        : Dua-dua pepsi.  
                Pekerja  : Ada apa-apa lagi cik?
                Saya        : (Menggeleng) Tak ada, itu je.
                Pekerja  : Semuanya RM**.**. Selamat menjamu selera. .
                Saya        : (Saya tersenyum lagi).

      Sesudah itu, kami menjamah hidangan yang dipesan dengan berselera sekali. Pendek kata, saya sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh pekerja di restoran terbabit. Diibaratkan segala penat lelah dan rasa lapar saya  setelah berbaris agak lama hilang begitu sahaja. Hal ini demikian kerana, para pekerja  bukan sahaja menggunakan bahasa yang sopan bahkan mereka begitu mesra meskipun hanya dengan melemparkan senyuman yang cukup ikhlas dan bermakna.

    Akhir kata daripada saya, walau di mana jua kita berada atau dengan siapa jua kita berhadapan, budi bahasa merupakan aspek yang sangat penting untuk kita amalkan. Nescaya masyarakat akan merasa senang dengan kita dan seterusnya menerima kita sebagai sebahagian daripada warganya. Sekian, terima kasih.

Meriahnya Marrybrown

Nasi Ayam Marrybrown yang enak

Isnin, 7 Februari 2011

SITUASI: RAGAM BAHASA SMS

Salam sejahtera,
Saudara dan saudari pembaca yang budiman, di ruangan ini, saya akan menulis tentang ragam sistem pesanan ringkas atau istilah komersialnya "SMS". Sebelum kita bersama mengembara ke alam ragam SMS, wajar kiranya saudara dan saudari pembaca meminjamkan sejenak deria pandang masing-masing. 
"Ayang, sekian lama kita tidak bersua. Hanya SMS menjadi pengubat duka lara. I'm sorry ayang. I'm busy. Teruskan wait for me ayang. Abang bukannya sengaja. Terimalah salam sayang dan rindu dari abang. Muah!"
Petikan di atas merupakan satu kiriman SMS daripada seorang lelaki yang tidak dikenal pasti identiti sebenarnya. Kiriman tersebut ditujukan khas buat kekasih hati yang sekian lama tidak ditemui ekoran daripada kesibukan rutin hariannya. Juruhebah yang menjadi perantara bagi pengirim dan penerima kiriman tersebut telah membaca SMS yang dikirim dengan penuh perasaan. Pada penghujung SMS, juruhebah berkenaan bahkan meniru perlaku "muah" yang tertera dalam kiriman terbabit. Hal tersebut telah mengundang tawa antara saya dan rakan yang mendengarnya. 

Merujuk kepada kiriman SMS di atas, saya ingin berbicara tentang isu ragam bahasa SMS khasnya dalam kalangan pelapis pucuk kepimpinan negara yakni para remaja kita. Pada pandangan peribadi, SMS memainkan peranan penting bagi merapatkan hubungan silaturahim yang terjalin antara dua insan, meskipun jasadnya dipisahkan oleh jarak yang beribu batu jauhnya. Walau bagaimanapun, ragam bahasa SMS merupakan satu masalah yang serius khasnya jika dilihat dari aspek pencampuran bahasa dalam sesebuah ayat. Berdasarkan kiriman SMS di atas, kita dapat mengenal pasti beberapa perkataan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah pun saya condongkan. 

Barangkali bertepatan dengan prinsip "ringkas" dalam mengirimkan SMS, bahasa yang digunakan juga telah diubah kepada perkataan yang seringkas-ringkasnya. Konsep "ringkas" yang didukung oleh SMS seterusnya menular menjadi satu perisa sesedap rasa bagi adunan mesej yang ingin kita sampaikan kepada seseorang individu. Tanpa kita sedari, dek prinsip "ringkas" yang kita pegang, bahasa kita kian tercemar dengan kehadiran pelbagai ragam bahasa sms! Alangkah indah, mesra dan puitisnya jika SMS berkenaan ditulis seperti berikut :
"Ayang, sekian lama kita tidak bersua. Hanya sms yang menjadi pengubat duka lara. Maafkan abang, ayang. Abang sibuk. Teruskan menanti abang, ayang. Abang bukannya sengaja. Terimalah salam sayang dan rindu dari abang. Muah!"
Berdasarkan pembetulan yang telah pun dibuat, saya yakin bahawa si penerima pastinya akan tersenyum lebar hingga ke telinga tatkala mendapat atau mendengar kiriman SMS tersebut.  Selain daripada mengeratkan lagi ikatan antara dua hati yang sedang asyik dilamun cinta, bahasa yang tercinta juga terus menerus terpelihara martabatnya. Akhir kata daripada saya, tidak rugi kiranya sekali sekala kita menyelitkan unsur puisi tradisional serta perkataan-perkataan yang indah dan sedap didengar semasa menaip SMS. Hal ini demikian kerana, bukan hanya bahasa kita bawa bersama tetapi budi itu yang menjadi pemanis bicara. Renung-renungkan. 
Gambar sekadar hiasan

Sabtu, 5 Februari 2011

SITUASI : BAHASA KIASAN

Salam sejahtera,
Dalam keletihan yang masih bersisa saya mengambil keputusan untuk melayari laman sosial yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat seantero dunia, iaitu Facebook. Tatkala sedang asyik meninjau status rakan-rakan saya, saya dikejutkan dengan status yang ditulis oleh seorang wanita. Terkedu sejenak saya dibuatnya. Saya bahkan merasa kelu untuk menggambarkan status profil berkenaan. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menilai bahan grafik yang saya sertakan di bawah : 

Sekadar renungan kita bersama.

Saya menghela nafas panjang setelah membaca status berkenaan. Hal ini demikian kerana, wanita berkenaan menggunakan bahasa yang sangat kasar contohnya, "mampos", "celaka", "sial", "setan" dan "mati lagi baik lah". Apa yang ingin saya terbitkan sebagai isu adalah penggunaan bahasa yang kasar. Di samping itu, saya ingin bertanya kiranya laman sosial Facebook itu merupakan medium untuk mengherdik dan menyumpah seranah kah? Ya, saya akui manusia tidak lepas dari kekhilafan serta acapkali dimonopoli dek emosi negatif. 

Merujuk kepada senario di atas, ingin saya usulkan berkenaan penggunaan bahasa kiasan. Hal ini demikian kerana, penulisan yang menggunakan bahasa kiasan merupakan penulisan yang halus. Dalam erti kata lain, individu yang mengenali ketertinggian nilai bahasa kiasan sudah tentu akan memilih bahasa kiasan untuk menggantikan kata-kata yang kurang enak dibaca.  Sejajar dengan norma masyarakat, bahasa kiasan merupakan satu cara untuk mengelakkan seseorang individu daripada menulis sesuatu perkara yang boleh mengundang rasa malu, takut atau kurang manis apabila dibaca oleh orang lain. 

Akhir kata daripada saya, penggunaan bahasa kiasan sesuai dijadikan satu alternatif yang bijak dan positif sekiranya kita sedang berhadapan dengan emosi yang tidak menentu. Di samping menunjukkan kemampuan kita untuk menguruskan emosi, bahasa kiasan melambangkan tingginya nilai budi bahasa dan kebijaksanaan kita dalam berbahasa. Renung-renungkanlah.

**Saya sama sekali tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya berhasrat untuk menjadikannya satu iktibar dan panduan pada masa akan datang. Sesungguhnya, tiada manusia yang terlepas dari cengkaman kekhilafan tetapi kita pastinya boleh berusaha ke arah kebaikan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. 

Sekian, terima kasih. 

Khamis, 3 Februari 2011

SITUASI : BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Salam sejahtera,
Seawal pukul 9:30 pagi, saya bersama seorang rakan, Dayang mengatur langkah ke kaunter bas SKS. Sekitar 10:00 pagi, kami tiba di terminal bas Tanjung Malim. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, sahabat saya dicuit oleh seorang penumpang yang duduk sebaris dengan kami. Berikut merupakan sebahagian daripada perbualan antara sahabat saya dan penumpang wanita tersebut :

       Wanita   : Dik, nak tanya sikit boleh?
       Sahabat : Boleh, tanyalah kak.
       Wanita   : Urmm, adik tahu ke tempat nak joget kat KL?
       Sahabat : (Termangu sejenak) Urmm, tak tahulah kak. Maaf.
       Wanita   : Apalah..orang Malaysia tak tahu tempat sendiri!
       Sahabat : (Diam membisu dan terus berpaling)

Saya tergamam tatkala mendengar kata-kata yang meluru keluar dari bibir wanita berkenaan. Dalam hati saya terasa sayu. Bagaimana perbualan yang mesra dan penuh dengan kesantunan berakhir dengan ujaran yang pada saya menyakitkan! Bukannya hendak berterima kasih, malahan mencaci tanpa segan silu. Saya memandang ke arah sahabat saya, dia hanya menggaru kepala yang tidak gatal. Kesian dia. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah, walau apapun jua situasi yang kita hadapi elok kiranya kesantunan berbahasa kita tetap terpelihara. Di samping itu, janganlah kita membiarkan diri dimanipulasi dek emosi yang sedang bergelora, sehingga akhirnya kita menyalahgunakan bahasa! Meskipun berasal dari negara yang berbeza, wajar kiranya kita menggunakan bahasa yang sedap didengar yakni bahasa mencerminkan ketamadunan bangsa. Barangkali wanita tersebut merasa kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh sahabat saya. Akan tetapi, adakah wajar kiranya kami dianggap biasa dengan tempat-tempat yang menawarkan aktiviti "joget"? Dan, adakah enak didengar tatkala wanita berkenaan mempertikaikan jawapan kami dengan maklum balas yang sedemikian rupa? Seharusnya, wanita itu berfikir tentang ujarannya. Bak kata pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Fikir-fikirkanlah.


Menurut grafik di atas, "Satu perkara yang perlu kita ingat walau di mana jua kita berada ialah BUDI BAHASA!" Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menyemai subur kesantunan berbahasa dalam diri kita. Sekian, terima kasih. 
Puan ketam padi pulut,
Saya ketam padi Jawi;
Puan berkata sedap di mulut,
Saya mendengar sakit di hati. 

Rabu, 2 Februari 2011

SITUASI : SALAH SIAPA?

Salam sejahtera,
Dek kebosanan yang kian erat mendakap hari-hari yang saya lalui, saya mengambil keputusan untuk menelusuri koleksi cerita Melayu yang saya miliki. Sudah lama benar rasanya saya tidak berkesempatan untuk melayan cerita-cerita Melayu. Setelah puas meneliti dan membuat timbang tara, saya memilih untuk menonton semula cerita yang diberi judul "Andartu Terlampau", keluaran syarikat penerbitan BIG Production Sdn.Bhd. Sedang saya asyik memerhatikan animasi yang digunakan pada permulaan cerita, pandangan mata saya terganggu dek deretan perkataan yang mencuit emosi. Hati kecil saya lantas berbicara, "Alahai bangsaku, kenapa kau gadai lagi nilai bahasamu?" Barangkali saudara dan saudari pembaca yang budiman sedikit keliru dalam menentukan isu pokok yang bakal saya utarakan. Dipendekkan cerita, perkongsian saya pada hari ini berkisar tentang permasalahan penggunaan kata sendi nama "di". Terlebih dahulu, perhatikan ayat di bawah :
Nama-nama, fakta-fakta, peristiwa, cerita yang digunakan dan/ disebut didalam filem ini hanyalah rekaan dan tidak didasarkan atas/ atau dikaitkan kepada sebarang peristiwa ataupun orang yang benar sama ada yang masih hidup atau pun sudah mati. Segala persamaan (jika ada) adalah tidak disengajakan. Filem ini dilindungi hak cipta Malaysia dan negara-negara lain. Segala penyalinan, peniruan atau penggunaan filem ini atau sebahagian daripadanya tanpa izin pemilik hak cipta adalah suatu kesalahan disisi undang-undang. 
Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, izinkan saya berkongsi serba sedikit berkenaan takrifan kata sendi nama. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2004:252), kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Di samping itu, kata sendi nama "di" dieja terpisah daripada kata atau frasa nama yang mengikutinya. Perhatikan dua ayat di bawah :
  • Ibunya bekerja di sekolah itu.
  • Pengembara itu sesat di dalam hutan. 
Merujuk  kepada ayat di atas, perkataan sekolah dan dalam hutan merupakan frasa nama yang menunjukkan tempat. Sehubungan dengan itu, kata sendi nama "di" dieja secara terpisah. Berbalik kepada isu berkenaan "mukadimah" bagi movie "Andartu Terlampau", penyalahgunaan kata sendi nama "di" berlaku dalam dua perkataan iaitu "didalam" dan "disisi". Hal ini demikian kerana, perkataan "dalam" dan "sisi" mendukung makna letaknya sesuatu atau lebih ringkas, tempat. Oleh sebab itu, kata sendi nama "di" dalam mukadimah tersebut perlulah dijarakkan seperti berikut :
Nama-nama, fakta-fakta, peristiwa, cerita yang digunakan dan/ disebut di dalam filem ini hanyalah rekaan dan tidak didasarkan atas/ atau dikaitkan kepada sebarang peristiwa ataupun orang yang benar sama ada yang masih hidup atau pun sudah mati. Segala persamaan (jika ada) adalah tidak disengajakan. Filem ini dilindungi hak cipta Malaysia dan negara-negara lain. Segala penyalinan, peniruan atau penggunaan filem ini atau sebahagian daripadanya tanpa izin pemilik hak cipta adalah suatu kesalahan di sisi undang-undang. 
Secara peribadinya, saya beranggapan bahawa, media massa khasnya media eletronik memainkan peranan yang penting dalam menjana dan memartabatkan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat setempat. Akhir kata daripada saya, maafkan kiranya tersasul bicara. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak, sekadar gusar memikirkan masa depan bahasa kita. Renung-renungkanlah....

Buat renungan bersama
Sekian, terima kasih.

INGATAN TULUS IKHLASKU