Sabtu, 19 Februari 2011

SITUASI: CECITER

Salam sejahtera,
Sepanjang hari ini, saya ditemani oleh rasa bosan yang teramat. Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menonton beberapa cerita Melayu yang telah dimuat naik oleh individu tertentu ke laman Youtube. Setelah puas membelek satu persatu cerita yang terpapar pada skrin komputer riba milik saya, saya memilih untuk menonton cerita yang hangat di pasaran khasnya dalam kalangan remaja yang menggemari cerita-cerita seram. Cerita Melayu yang saya maksudkan adalah Hantu Kak Limah Balik Rumah. Bagi sesetengah orang, cerita ini sudah basi lantaran siarannya sudah pun agak lama. Akan tetapi, bagi individu yang agak sibuk seperti saya, kesempatan yang ada hanyalah di hujung minggu seperti hari ini.

Berdasarkan tajuk penulisan yang saya pilih iaitu ceciter, dapatkah kiranya saudara dan saudari pembaca yang budiman mengagak isu yang bakal saya ketengahkan?

Terlebih dahulu, saya menyusun sepuluh jari dan amat berbesar hati untuk mendengar sebarang teguran membina kiranya saya melakukan kekhilafan khasnya dari aspek ejaan ungkapan ceciter yang acapkali diujarkan oleh barisan pelakon yang membintangi cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Perkataan ceciter telah disebut sedari awal cerita tatkala Hussein yang baru pulang dari Singapura mempersoalkan keadaan kawannya Usop. Berikut merupakan sebahagian daripada dialog antara Hussein (lakonan Awie) Abi dan rakannya Usop:

     Hussein : Ni mike ni pasai pa Usop? Dah berwheelchair ni.
     Usop       : Panjang ceritanya Usop, awak pun dah cengang nak....
     Hussein : (Serentak dengan Abi) Ceciter...ceciter. 

Hah!..Itulah sebahagian daripada dialog yang sempat singgah di benak minda saya. Jujurnya, ungkapan ceciter telah pun menjadi satu amalan lazim dalam pertuturan dan penulisan masyarakat kita dewasa ini. Wajarkah pihak media dipersalahkan? Jawapan, wajar, tetapi bukan 100% letaknya khilaf itu di bahu media. 

Hal ini demikian kerana, segala yang kurang atau negatif sesungguhnya berpunca daripada kelemahan seseorang individu itu sendiri. Individu berhak untuk menilai dan membuat pilihan. Berhubung penggunaan ungkapan ceciter yang kian mendapat tempat di hati masyarakat, sedarkah kita bahawa ungkapan tersebut merupakan sebahagian daripada isu sosiolinguistik bahasa Melayu semasa? Ceciter dianggap satu isu sosiolinguistik kerana, ungkapan tersebut dibentuk oleh dua perkataan seperti berikut:

     cuba (yang disebut cube) + cerita (yang disebut citer) = ceciter

Berdasarkan rumus di atas, jelas menunjukkan bahawa perkataan ceciter merupakan gabungan atau singkatan bagi cuba cerita. Barangkali kita menganggapnya sebagai satu isu bahasa yang kecil, akan tetapi, bagaimana jika anak muda begitu terbiasa dengannya? Bagaimana jika ungkapan tersebut digunakan sewaktu berkomunikasi dengan pendengar yang tidak mempunyai skemata tentang ungkapan ceciter tersebut? Pastinya pendengar yang diajukan soalan akan tercengang dan melopong lantaran tidak memahami maksud penutur.

Sehubungan dengan itu, gabungan atau singkatan seeloknya kita gunakan dalam kadar yang berpada-pada sekaligus memelihara nilai lingua franca yang didukung oleh bahasa Melayu. Kreatif dalam berbahasa itu satu kelebihan, tetapi perlu kena pada tempat dan lingkungan sasarannya. Akhir kata daripada saya, bahasa Melayu nadi ketamadunan bangsa kita.

Sekian, terima kasih.

Tontonan bersama:

SITUASI: KHURAFAT

Salam sejahtera, 
Sekitar jam 12 tengah hari, bersamaan 18 Februari 2011, saya menapak sebentar di ruangan menonton televisyen bagi penghuni blok satu (1) Kolej Harun Aminurrashid. Saya mengambil keputusan untuk melabuhkan punggung di ruangan tersebut dek kerana, sepupu yang dinanti masih belum selesai berdiskusi bersama rakan-rakannya. 

Pada waktu itu, di kaca televisyen terpapar sebuah rancangan yang pada saya penuh dengan perkongsian maklumat iaitu Wanita Hari Ini (WHI). Topik yang menjadi bahan bualan ialah "Khurafat Moden". Bagi mengukuhkan lagi sesi diskusi berkenaan topik, WHI telah menjemput seorang mangsa yang dikenali sebagai Puan Siti dan suaminya, serta seorang ustaz yang saya labelkan sebagai ustaz J. Berikut merupakan pentakrifan khurafat yang sempat saya catat:
"Dari segi etimologi, perkataan khurafat merujuk kepada kisah khurafa, yang khabarnya telah dicekup oleh sekumpulan jin. Setelah berjaya "menyelamatkan" diri dari belenggu dunia jin tersebut, Khurafa mengambil keputusan untuk menceritakan segala bentuk pengalamannya yang aneh. Akan tetapi, masyarakat enggan mengakui kebenaran butir bicara Khurafa. Sehubungan dengan itu, masyarakat mengistilahkan sesuatu yang misteri sebagai khurafat."
Pernyataan  di atas merupakan ujaran yang diketengahkan oleh salah seorang daripada pengacara yang berada di studio tersebut. Sejurus selepas itu, pengacara tersebut meminta pandangan ustaz yang hadir, dan ustaz berkata begini: 
"Asalnya, Khurafa telah memukul seekor ular yang sebenarnya jin sehingga jasadnya dirasuk. Dari sudut pandangan agama, khurafat ialah tahyul yakni mampu menganggu gugat, keyakinan umat pada Allah s.w.t."
Saudara dan saudari pembaca yang saya hormati sekalian, perkongsian mengenai asal usul perkataan khurafat bukanlah isu sebenar saya sebaliknya saya sifatkan sebagai wadah pembuka bicara sahaja. Hal ini demikian kerana, isu sebenar yang ingin saya ketengahkan adalah permasalahan penggunaan membincangkan tentang yang kerapkali disebut oleh pengacara dan barisan panel yang menyertai ruangan diskusi tersebut.

Menurut Nik Safiah Karim et.al (2004:178), akhiran -kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Dari aspek pengertian, akhiran -kan mendukung dua makna yang berikut:
  1. memberi pengertian kausatif atau menyebabkan jadi
  2. memberi pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain
Dari aspek makna, perkataan membincangkan bermaksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata dasar sejajar dengan contoh seperti berikut:
  1. Mereka merundingkan hal itu dengan keluarga masing-masing. 
Bersetujukah kalian sekiranya saya menyatakan bahawa membincangkan dan merundingkan adalah sinonim? Persoalan yang lebih besar di sini; ke mana hilangnya perkataan tentang selepas merundingkan? Apa rasionalnya ketiadaan tentang sejurus selepas merundingkan

Sebenarnya, penggunaan membincangkan tentang merupakan insiden yang kita istilahkan sebagai "lewah". Hal ini demikian kerana, akhiran -kan yang mengapit perkataan bincang telah pun mendukung makna tentang. Sehubungan dengan itu, apabila meN-...-kan digunakan bersama tentang, akan berlakulah unsur lewah yakni bunyinya begini; membincangkan (tentang) tentang... Pendek kata, terdapat dua pilihan yang boleh dipertimbangkan dalam pertuturan atau penulisan iaitu, sama ada:
  1. ...membincangkan isu Khurafat Moden...
  2. ...berbincang tentang isu Khurafat Moden...
Kesimpulannya, permasalahan penggunaan membincangkan tentang merupakan sesuatu yang lazim dalam kalangan masyarakat kita. Oleh sebab itu, marilah kita bersama berganding bahu, sehabis daya mencuba untuk memperbetulkan kekhilafan kita. Bak kata orang tua-tua, "Yang bulat tak datang bergolek, Yang pipih tak datang melayang." Renung-renungkanlah.
Gambar sekadar hiasan
Bicara Mata Hati: Sekadar dijadikan renungan bersama. Tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak. Apa yang pasti, kita sebagai manusia biasa tidak akan terlepas dari kekhilafan. Yang penting bagi kita, "Buang yang keruh, ambil yang jernih." 

Selasa, 15 Februari 2011

SITUASI: SIMPULAN BAHASA

Salam sejahtera, 
Dalam kehidupan kita sehari-harian, secara langsung mahupun tidak langsung, kita acapkali menggunakan ungkapan yang berlapis. Sebagai contohnya:

  1. Ko tunggu sini, aku nak buang air jap. 
  2. Ko ni buang tabiat ke apa? Semacam je aku tengok.
  3. Banyak cakap lah ko! Diam sikit boleh tak?
Berdasarkan tiga contoh yang dinyatakan di atas, adakah saudara dan saudari pembaca yang budiman bersetuju kiranya saya menyifatkan simpulan bahasa sebagai salah satu elemen wajib dalam pertuturan kita sehari-harian?

Hakikat di atas merupakan satu lumrah kehidupan yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya. Hal ini demikian kerana, tanpa kita sedari kita telah pun menggunakan ungkapan-ungkapan berlapis semasa berkomunikasi dengan orang di sekeliling kita. Ungkapan berlapis yang seringkali hadir mengiringi buah fikiran kita diistilahkan sebagai "simpulan bahasa". Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas kerana pada kebiasaannya, simpulan bahasa dibentuk oleh dua patah kata. Selain daripada mengandungi pengertian yang mendalam, simpulan bahasa lazimnya mendukung pengertian yang berbeza dengan makna sebenar bagi perkataan-perkataan yang membentuknya. 

Berdasarkan tiga contoh yang dinyatakan di atas, saya menyifatkan bahawa, adakalanya simpulan bahasa itu memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan dialog yang lebih enak didengar dek halwa telinga kita. Hal ini demikian kerana, sebagai warga yang dibelenggu nilai kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan, pemilihan kata yang bersesuaian dan tertib amat dititikberatkan baik dalam pertuturan mahupun penulisan kita. Berbalik kepada contoh-contoh di atas, molek kiranya kita fahami makna simpulan bahasa yang digunakan oleh si penutur (1), (2) dan(3).

Penutur (1) menggunakan simpulan bahasa "buang air " bagi menggantikan perkataan yang kurang enak didengar iaitu "berak" atau "kencing". Penutur (2) pula memilih simpulan bahasa "buang tabiat" bagi menggambarkan perubahan sikap atau kelakuan rakannya melalui teguran yang berhemah sementara penutur (3) mengujarkan simpulan bahasa "banyak cakap" sebagai simbolik kepada keengganannya untuk mendengar celoteh daripada rakan yang lagaknya tidak ubah seperti murai tercabut ekor

Sebagai kesimpulannya, simpulan bahasa boleh kita takrifkan sebagai sinonim dengan etika berbahasa dalam kalangan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana, dalam masyarakat Melayu, individu yang berbudi bahasa, sopan serta arif tentang adat resam dikatakan bijak berbahasa yakni bijak menyesuaikan bahasa dengan keadaan atau situasi penutur dan pendengarnya. Di samping itu, bahasa dapat menunjukkan hati budi penuturnya yakni bahasa cerminan hati budi manusia. Justeru, berbahasalah sebaik yang mungkin tanpa menjejaskan ketertinggian norma masyarakat kita yang sangat mementingkan aspek kesantunan berbahasa. Renung-renungkan...

Sekian, terima kasih.

Sumber:

Isnin, 14 Februari 2011

SITUASI: CINTA DAN SETIA

Salam sejahtera,
Hari ini bertarikh 14 Februari 2011, bersamaan dengan sambutan Hari Kekasih atau nama komersialnya "Valentine's Day"! Barangkali bunyinya kedengaran janggal bagi saya membincangkan perihal cinta di ruangan blog ini. Sebelum pergi kepada isu dengan lebih lanjut, ingin saya tegaskan bahawa, makna cinta adalah berbeza bagi setiap individu. Cinta bukan hanya kepada keluarga dan yang mencintai tetapi, cinta juga dituntut dalam memelihara serta memulihara kedudukan sesuatu bahasa!

Jika dalam percintaan sesama manusia kita mencuba untuk setia, mengapa tidak kita usahakan untuk setia terhadap bahasa kita yakni bahasa Melayu?

Menurut Asmah Hj.Omar (2002:62), setia terhadap bahasa bermaksud seseorang penutur yakin dengan kemampuan bahasa sebagai alat pemikiran dan alat komunikasi. Sebagaimana kita mencintai dan mencuba untuk setia dengan seseorang dalam sesebuah hubungan percintaan, begitu jugalah cinta dan setia yang dikehendaki dalam menjaga nilai bahasa! Tambahan pula, menurut pensyarah Sosiolinguistik Melayu, Dr. Siti Saniah, setia tidak bermakna benci! Maknanya, sekiranya kita memilih untuk setia pada bahasa Melayu tidak bermakna kita secara total akan menolak bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil dan seumpamanya. Dalam erti kata lain, kita akan mempelajari bahasa-bahasa asing yang lain tanpa mengabaikan kedudukan dan fungsi bahasa kita sendiri, iaitu bahasa Melayu. Sebagaimana dalam percintaan, mencintai si A tidak bermakna kita langsung tidak bertegur sapa dengan si B, begitulah jua hakikatnya dalam mencintai bahasa. 

Berbalik kepada unsur cinta dan setia, Asmah Hj. Omar (2002:64) ada menyebut, katanya:
Dengan setia bahasa, timbullah rasa cinta yang bermakna bahawa kita mesti memelihara kedudukan bahasa berkenaan supaya tidak tersisih dari kehidupan masyarakatnya. 
Merujuk kepada pernyataan di atas, sikap cinta bahasa memerlukan kita menjaga kedudukan bahasa yang menjadi milik kita bersama. Cinta dan setia pada bahasa dapat ditonjolkan melalui penggunaan bahasa yang betul baik dari segi sebutan, ejaan, nahu, pemilihan kata serta kesesuaian bahasa yang dihasilkan dengan situasi penuturnya. 

Tuntasnya sebagai penutur natif bahasa Melayu, kita harus menyemai rasa cinta dan setia pada bahasa dengan menjaga dan memelihara kedudukannya. Tidak salah untuk kita mempelajari bahasa-bahasa yang lain sekiranya kita mampu untuk berbahasa dengan sebaik yang mungkin dan tidak mencampur adukkan bahasa Melayu dengan bahasa yang telah dipelajari tadi. Akhir kata daripada saya, mencintai bahasa Melayu bermakna memelihara nilai dan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. 

Sekian, terima kasih. 

SITUASI: SESEDAP SEBUTAN

Salam sejahtera, 
Cuaca yang teramat panas di luar menyebabkan saya merasa haus. Sehubungan dengan itu, saya mengajak pelajar A dan B berkunjung ke deretan gerai yang letaknya berhadapan dengan kedai komputer BHL. Sewaktu sedang asyik menikmati segarnya air kelapa yang dibeli, fikiran saya menerawang jauh mengimbau semula insiden yang berlaku pada Jumaat, bertarikh 12 Februari 2011 sekitar pukul 10:29 malam. 

Ceritera sosiolinguistik kali ini bermula dengan penemuan yang mengejutkan sewaktu saya dan rakan mengunjungi sebuah gerai minuman. Salah sebuah gerai menawarkan pelbagai menu minuman yang unik yakni lain daripada yang lain! Walau bagaimanapun, yang berbeza hanya pada nama atau labelnya, bukan pada jenisnya. Antara nama atau label minuman yang masih utuh dalam lipatan ingatan saya ialah "bandung Kak Limah balik rumah", "jagung Nangkung" dan "laici susu Luna Maya"! Penjual yang menyewa tapak niaga tersebut telah menulis atau melabel setiap minuman dengan begitu jelas sehinggakan pandangan mata saya menjadi silau, seterusnya mencuit mata hati saya untuk berbicara dengan lebih lanjut berkenaan insiden tersebut. 

"Laici susu Luna Maya" merupakan salah satu daripada label minuman yang paling meninggalkan kesan dalam sanubari saya. Hal ini demikian kerana, meskipun pada dasarnya peniaga berkenaan barangkali tidak bermaksud untuk mempermainkan nama Luna Maya, akan tetapi, pemilihan label yang sedemikian rupa merupakan sesuatu yang sama sekali tidak wajar untuk dilakukan oleh seseorang individu yang mengetahui nilai sesebuah bahasa. Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini ialah, apakah wajar bagi masyarakat kita menggunakan bahasa dengan sewenang-wenangnya yakni sesedap sebutan sahaja? Bagaimanakah nasib bahasa sekiranya penutur sesebuah bahasa itu berterusan menyalahgunakan bahasanya? Fikirkan sejenak wahai saudaraku.

Pada pandangan peribadi saya, perbuatan melabel minuman dengan nama "laici susu Luna Maya" merupakan sesuatu yang sama sekali tidak wajar khasnya dalam kalangan penutur natif bahasa Melayu kita. Hal ini demikian kerana, bahasa memainkan peranan yang maha besar dalam kehidupan kita sehari-harian. Barangkali bagi peniaga tersebut label yang digunakan adalah satu gurauan seterusnya melariskan jualan, akan tetapi, bagaimana dengan pihak yang terbaca dan menyalahtafsirkannya? Bukankah akan mengundang kontroversi lantaran label yang digunakan berunsur sindiran? Jika bahasa sedemikian rupa yang kita pilih, maka renung-renungkanlah di mana letaknya nilai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang telah sekian lama masyhur martabatnya. Jika sindiran yang menjadi motif utama berbahasa, mengertikah peniaga berkenaan akan pepatah Melayu yang berbunyi "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya?"

Sebagai kesimpulannya, tidak kira di mana atau apa jua bentuk perniagaan yakni urusan seharian yang melibatkan aktiviti memberi dan menerima perkhidmatan dijalankan, bahasa yang digunakan perlulah mengambil kira isu sensitif khasnya hati dan perasaan orang lain. Kiranya sekadar gurauan bagi kita, bagaimana dengan pihak yang terpampang namanya dalam label "gurauan" kita? Bangsaku, peliharalah ketertinggian nilai bahasamu. Janganlah kita menggunakan bahasa yang sesedap sebutan dan mengabaikan aspek penerimaan, kerana bahasa bukannya wadah untuk kita mengumpat mengeji sebaliknya medium bagi kita menyampaikan seribu satu kebaikan kepada yang membaca atau mendengarnya. 

Sekian, terima kasih.

Berat mata memandang...

Sabtu, 12 Februari 2011

SITUASI: TERSIRAT


Salam sejahtera,                                                                                                                       
Hari ini merupakan hari yang dipenuhi dengan suka duka, tangis dan tawa! Hal ini demikian kerana, saya dan rakan-rakan seperjuangan telah pun selesai menjalankan kajian lapangan di sebuah kem modal insan yang terkemuka. Sejujurnya, kunjungan pada hari ini merupakan kunjungan yang julung-julung kalinya buat saya. Ketibaan saya dan rakan-rakan yang lain telah disambut mesra oleh pengasas kem modal insan tersebut. Sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk mendekati golongan-golongan yang seringkali dipandang serong oleh masyarakat. Kunjungan ke kem modal insan tersebut turut membantu saya memahami situasi sebenar berkenaan isu sosial dalam kalangan remaja. 

Pada sebelah petang, saya dan rakan-rakan telah mengambil kesempatan yang ada untuk mendekati sekalian warga di kem modal insan terbabit. Sesungguhnya, mereka merupakan golongan yang sangat ramah meskipun pada mulanya mereka dibelenggu rasa malu, kemungkinan besar kerana itu adalah pertemuan pertama kami. Selang beberapa minit kemudian, mereka mulai berani untuk bersuara dan meluahkan segala amarah dan sesal yang sekian lama membusung di kamar hati. Salah seorang pelatih, yang saya kenali dengan nama Ina (bukan nama sebenar) telah berkongsi sesuatu yang menarik tentang perkara yang lazim kita hadapi dalam kehidupan seharian iaitu perihal bersin dan alis mata.

        Berikut merupakan sebahagian daripada perkongsian Ina : 

"Akak nak tahu tak? Orang cakap kan, kalau kita bersin sekali itu tandanya ada orang rindu kat kita. Kalau kita bersin dua kali, maknanya ada orang menyebut nama kita kak. Kalau tiga kali pula, itu tandanya kita demam kak!"

Sesudah itu, Ina ketawa terkekeh-kekeh, mendorong saya dan rakan-rakannya yang lain ketawa bersama. Selang beberapa minit kemudian, Ina menyambung perbualan. Katanya :

"Satu lagi kak. Kalau alis mata sebelah kanan kita "jatuh" kan kak, itu tandanya ada orang rindu kat kita kak. Kalau sebelah kiri pula, itu tandanya  ada orang mengutuk mengata kita kak. Khamis lepas kan kak, alis mata kanan saya "jatuh", kebetulan hari tu hari lahir ayah saya...agaknya ayah rindu kat saya kan kak?"

Ina terhenti di sana tatkala air mata mulai membasahi pipi gebu miliknya. Saya lantas mendekatkan diri dan menepuk bahunya mesra. Linangan air mata yang mengalir diselangi cerita jenaka yang dikhabarkan oleh Ina  menyebabkan sendu berlagu di birai mata saya. Sayu dan pilu terasa tatkala mendengar luahan hati seorang insan yang kini terpaksa berjauhan dengan keluarganya dek kesilapan lampau yang menghantui jiwa remajanya.

Berkenaan situasi yang saya paparkan, bahasa lisan merupakan bahasa yang sangat unik yakni mempunyai maknanya yang tersendiri. Menurut Vandler (1967), perkataan "bersin" tergolong dalam kata kerja pencapaian yang mempunyai tempoh yang singkat. "Bersin" digolongkan sebagai kata kerja kerana, "bersin" merupakan satu perbuatan yang lazim dalam hidup manusia meskipun kejadian bersin sama sekali tidak terduga atau terkawal dek kudrat kita. Yang menariknya, bersin mempunyai maknanya yang tersirat menyerupai "gugurnya" alis mata seseorang individu itu. Apa pula kaitannya dengan bahasa? Bersin dikategorikan sebagai bahasa kerana, perbuatan bersin sudah sedia tergolong di bawah kata kerja dan mempunyai makna! Akhir kata daripada saya, keupayaan untuk mentafsir adalah berbeza bagi setiap individu. Adakalanya, sesuatu perbuatan itu melambangkan satu perkataan yang cukup besar maknanya. Misalnya, bersin mempunyai makna tersirat sama ada rindu, benci ataupun demam. Sekian, terima kasih. 

Jumaat, 11 Februari 2011

SITUASI: ALKISAH JURUJUAL

Salam sejahtera,
Alahai panasnya bumi Tg.Malim. Untuk makluman saudara dan saudari pembaca sekalian, saya baru sahaja pulang dari membeli-belah di pekan Tg.Malim, bersama seorang rakan karib. Berbekalkan niat untuk mencari "sling bag", kami telah membuat tinjauan bermula dengan deretan kedai yang sebaris dengan kedai Grand Union sehinggalah deretan kedai yang selari dengan Bank Simpanan Nasional. Setelah puas memerhati dan meneliti, saya mengambil keputusan untuk membuat pembelian di kedai Fashion Girl (mohon maaf kiranya tersalah ingat nama kedai). Sejurus selepas itu, saya dan rakan yang bernama A mencapai kata sepakat untuk mengunjungi sebuah kedai aksesori yang letaknya berhadapan dengan CIMB. Setibanya kami di sana, kami terkejut tatkala mendengar suara seorang jurujual wanita. Hal ini demikian kerana, dengan suara yang lantang jurujual tersebut berkata:

      Jurujual 1 : Benci arr pompuan tu, macam sial!
      Jurujual 2 : Dia tu kan... (berbisik tatkala menyedari kehadiran kami).

    Saya dan rakan hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak dapat kami bayangkan perasaan jurujual 3 yang disebut-sebut oleh jurujual 1 dan jurujual 2. Hal ini demikian kerana, jurujual 1 bukan sahaja bersuara lantang, tetapi, mimik mukanya juga jelas menunjukkan rasa bencinya yang meluap-luap. Yang menghairankan saya dan rakan ialah, jurujual 1 dan jurujual 2 seolah-olah tidak sedar bahawasanya kedai yang mereka jaga dipenuhi dengan para pelanggan yang barangkali hendak datang membeli. Apakah rasa kesal langsung tidak terbit di benak mereka lantaran tanpa segan silu telah mengaibkan rakan kerjanya yang lain? Tambahan pula, jurujual 1 dan jurujual 2 merupakan gadis remaja yang seharusnya memelihara kesantunan berbahasa. Alahai jurujual, kata "orang cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar". 

     Sesudah itu, kami beralih ke sebuah kedai kasut. Kami terkejut besar tatkala melihat ketiga-tiga jurujual di kedai berkenaan cukup manis dan sopan berbaju kurung! Bak kata orang tua-tua, "sejuk mata memandang". Jauh di sudut hati saya merasa cukup senang melihat mereka manis berbaju kurung. Bertambah manis tatkala kami dilayan dengan baik oleh ketiga-tiga jurujual tersebut. Mereka berbeza dengan sebilangan besar jurujual di sesetengah kedai, yakni mereka tidak "mengawasi" pelanggan dengan sebegitu ketat sebaliknya memberikan ruang kepada pelanggan untuk memerhati dan memilih tanpa diganggu oleh soalan yang pelbagai. Setelah selesai memilih, rakan saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah beg sandang yang berwarna putih. Ringkas tetapi cantik! Sejurus selepas membuat pembayaran, rakan saya pantas beredar. Tiba-tiba,

       Jurujual A : Akak, akak terlupa baki duit.
       Rakan         : Oh, ye ke? Terima kasih dik.
       Jurujual A : Sama-sama kak (sambil tersenyum).

  Jurujual A nyata berbeza dengan jurujual 1 dan jurujual  2. Hal ini demikian kerana, jurujual A bukan sahaja menggunakan bahasa yang baik malahan, budi pekertinya juga sangat tinggi. Saya menulisnya demikian kerana, budi bahasa merupakan aspek terpenting yang menjadi lambang kepada ketertinggian peradaban seseorang individu itu. Sebagai seorang jurujual, aspek bahasa menjadi satu syarat penting khasnya dari segi interaksi dengan pelanggan. Sebagai pelanggan, kita pasti terdorong untuk mengunjungi kedai-kedai yang memberikan kita layanan yang terbaik khususnya dari aspek komunikasi semasa proses mendapatkan barangan dan perkhidmatan itu berlangsung. Renung-renungkanlah. 
Kesopanan dan kesusilaan

INGATAN TULUS IKHLASKU