Rabu, 9 Mac 2011

SITUASI : SENANDUNG BAHASA

Salam sejahtera, 
Pernahkah saudara dan saudari pembaca sekalian mendengar lagu-lagu yang didendangkan oleh Maher Zain? Secara peribadinya, saya menggemari beberapa buah lagu yang dinyanyikan oleh beliau misalnya Hold My Hand, For The Rest Of My Life dan Insha Allah. Pada ruangan ini, saya akan berkongsi salah satu daripada koleksi beliau yang acapkali singgah di cuping telinga saya. Justeru, hayatilah lagu di bawah:
Berdasarkan lagu di atas, isu yang ingin saya ketengahkan ialah penggunaan bahasa Melayu dalam lagu. Umum mengetahui Maher Zain adalah seorang penyanyi yang berasal dari Lebanon tetapi menulis sebuah lagu dalam bahasa Melayu yang berjudul Insha Allah. Bukankah tindakan beliau dapat kita simpulkan sebagai sesuatu yang membanggakan? Hal ini demikian kerana, beliau telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri dan wajar untuk dimartabatkan penggunaannya dalam pelbagai bidang. Hal tersebut seterusnya menjadi mangkin kepada kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas!

Hal ini berbeza dengan sikap segelintir ahli seni dalam kalangan masyarakat kita yang gemar untuk mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Tambahan pula, masyarakat kita seolah-olah berbangga dengan karya campuran yang dianggap santai atau "sempoi". Tanpa kita sedari, kita telah menafikan keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang unik dan tidak ternilai harganya. Sebagai contoh, elok kiranya kita meluangkan sedikit masa untuk mendengar lagu yang dinyanyikan oleh seorang artis tempatan seperti di bawah:

Kesimpulannya, lagu merupakan medium yang berpotensi besar untuk menyebarkan bahasa. Hal ini demikian kerana, sesebuah lagu mempunyai kuasa tersendiri untuk menarik perhatian pendengar yang tidak hanya terhad kepada satu kaum atau etnik sahaja. Sehubungan dengan itu, aspek penulisan dan penerbitan lirik sesebuah lagu memerlukan penelitian yang jitu khususnya dari aspek penggunaan bahasa. Sekiranya masyarakat di luar seperti Maher Zain dan  Freddie Aguilar berlumba-lumba untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu, apa rasionalnya penyanyi kita yakni penutur jati sebaliknya cenderung untuk memasukkan elemen asing dalam lagunya? Akhir kata, jika bahasa asing yang kita agungkan sekalipun, jangan sesekali kita mengabaikan bahasa ibunda yang sedari dulu mendampingi kita. 

Sekian, terima kasih. 

Rujukan:

Isnin, 7 Mac 2011

SITUASI: BIDALAN

Salam sejahtera,  
Pernahkah anda mendengar bidalan Melayu yang berbunyi orang berbudi, kita berbahasa? Apakah yang anda faham tentang bidalan tersebut? 

Menurut Asmah Haji Omar (2007:9), dalam bidalan berkenaan, kata budi membawa makna sikap yang baik. Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang mempunyai sikap yang baik terhadap kita, kita hendaklah membalasnya dengan sikap yang baik yakni berbahasa.

Dipendekkan cerita, setelah selesai mengikuti sesi kuliah bagi kursus Sosiolinguistik Melayu, saya dan rakan mengunjungi sebuah kedai di kampus. Kami ke sana untuk mencetak dan memuatkan bahan tugasan ke dalam CD. Barangkali kerana kami telah biasa ke sana, pemilik premis perniagaan itu telah menyambut kami dengan baik. Sejurus selepas selesainya kedua-dua urusan kami, rakan saya mendapati bahawa terdapat sedikit kesilapan pada cetakan tugasan berkumpulan. Sehubungan dengan itu, pemilik premis tersebut telah membenarkan kami untuk mengedit dan membuat ubah suai.

Meskipun saya dan rakan agak cerewet, pemilik premis perniagaan tersebut tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik. Perkara tersebut benar-benar menyentuh hati saya. Hal ini demikian kerana, pemilik premis perniagaan tersebut bukan sahaja elok budi tetapi indah bahasanya. Sebelum berlalu, kami sempat mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kami. Pemilik premis tersebut membalasnya dengan senyuman manis.

Kesimpulannya, dalam apa jua bidang yang kita ceburi, budi dan bahasa memainkan peranan yang penting. Ucapan terima kasih merupakan inisiatif yang paling mudah dan bermakna sekiranya kita ingin membalas budi baik seseorang. Di samping mampu mengeratkan tali silaturahim sesama insan, ucapan tersebut menggambarkan eratnya perkaitan antara budi dan bahasa dalam kalangan masyarakat kita. Renung-renungkanlah.
Orang berbudi, kita berbahasa

Ahad, 6 Mac 2011

SITUASI: EMOSI

Salam sejahtera, 
Saya baru sahaja pulang dari menyaksikan perlawanan bola sepak antara dua kelab terkemuka iaitu Liverpool dan Manchester United! Apa yang menarik perhatian saya adalah kawalan emosi dalam kalangan peminat sukan berkenaan. 

Kawalan emosi yang saya maksudkan ialah aspek pemilihan kata yang digunakan oleh para penyokong yang hadir untuk memberi sokongan kepada kelab pilihan masing-masing. Lazimnya, akan berlaku insiden kata mengata atau saling mengutuk antara penyokong kelab yang berlawanan. Walau bagaimanapun, penyokong kelab Liverpool dan kelab-kelab lain selain Manchester United telah menunjukkan amalan kawalan emosi yang sangat cemerlang. Hal ini demikian kerana, meskipun Liverpool menang besar dalam perlawanan tersebut, para penyokongnya bersikap tenang dan tidak mencemuh pihak lawan.

Kata orang, setiap kejadian itu pasti ada pro dan kontranya. Perkara yang negatif menurut penghakiman saya adalah tindakan seorang pemandu kereta mewah yang enggan saya sebutkan suku kaumnya. Dipendekkan cerita, sewaktu sedang asyik menonton, saya dan rakan dikejutkan dengan bunyi hon yang kuat dan bertalu-talu. Setelah diperhati, ternyata seorang pemandu kereta mewah sedang memberi isyarat supaya pemilik kereta keluaran negara memberi laluan kepadanya. Saya merasa terkilan kerana pemandu kereta mewah tersebut bukan sahaja menganggu ketenteraman awam bahkan bertindak sewenang-wenangnya dalam khalayak. Secara tidak langsung, pemandu tersebut memperlihatkan kawalan emosinya yang lemah.

Apa yang ingin saya rumuskan di sini ialah, emosi merupakan satu aspek yang sangat penting bagi kita untuk mengawal dan mengendalikannya. Jangan kerana emosi kita melakukan sesuatu yang kurang sopan dan menyalahi norma masyarakat kita. Sekiranya kita sedang bergembira, jangan pula kita memperlekehkan orang yang sedang berduka. Dalam pada masa yang sama, aspek kawalan emosi turut membantu kita untuk mengawal ujaran yang terungkap dari bibir seterusnya memelihara keutuhan hubungan manusiawi.

SITUASI: SEKALI

Salam sejahtera,
"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali."
Tatkala terlihat ungkapan di atas, hati saya terdetik untuk mengulasnya. Saya sama sekali tidak berniat untuk mengubah atau menafikan penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita, akan tetapi, wajar kiranya ungkapan di atas kita perhati, dan hayati dengan teliti. Apakah rasional saya mengajak saudara dan saudari pembaca untuk merenung ungkapan di atas?

Pertama, perhatikan perkataan sekali yang tertulis di akhir ungkapan tersebut. Bukankah sekali bermaksud satu kali? Berdasarkan ungkapan tersebut, wajar atau tidak sekali yang menjadi pilihan? Jawapannya, sama sekali tidak wajar! Hal ini demikian kerana, ungkapan di atas boleh menarik pembaca untuk menyalahtafsirkan makna sebenar yang ingin disampaikan oleh masyarakat terdahulu. Seperti yang kita telah sedia maklum, generasi abad ke-21 cenderung untuk mempersoalkan sekecil-kecil perkara yang berlaku di sekelilingnya. Apakah jawapan yang sesuai sekiranya mereka bertanya, "Buat jahat jangan sekali. Maknanya, kalau lebih tak salah kan?"

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, elok kiranya kita menelusur makna se- yang didukung oleh perkataan sekali. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1402), se ialah awalan yang bermaksud satu yakni sekali pada ungkapan di atas mendukung makna satu kali. Dalam kalangan masyarakat Kelantan misalannya, perkataan se yang disebut sebagai "so" mendukung makna satu atau tunggal. Antara contoh lain bagi penggunaan perkataan berawalan se- adalah seperti berikut:
  1. sedunia yang bermakna satu dunia
  2. setempat yang bermaksud satu tempat sahaja.
Berbalik kepada ungkapan di atas, saya beranggapan bahawa lebih elok dan manis didengar sekiranya perkataan sekali digantikan dengan sesekali. Selain daripada mampu mengelakkan wujudnya pentafsiran yang salah, masyarakat sekaligus akan diingatkan agar jangan sesekali berbuat jahat serta berpada pula dalam menabur kebaikan sesama insan. 

Sesungguhnya khilaf itu bersifat bilazim yakni menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita sehari-harian. Walau bagaimanapun, kita sebagai manusia harus saling mengingati dan membuat teguran secara berhemah. Hal ini demikian kerana, teguran yang berhemah bukan sahaja memberi kesan yang mendalam bagi pendengarnya, bahkan, mampu menjauhkan kita dari perasaan dendam dan hasad dengki. Akhir kata, bahasa yang baik mampu melembutkan hati yang keras sekaligus menjadi wahana untuk menyampaikan pesanan yang mendalam dan berguna demi masa depan.

Buat baik berpada-pada

Sekian, terima kasih.

SITUASI: BERBEZA TAPI SAMA

Salam sejahtera,
Sendirian di rumah sewa mengundang bosan bertamu di kamar hati saya. Hati kecil saya lantas berbicara, katanya "Daripada duduk tak tentu hala, ada baiknya menulis di laman blog." Sehubungan dengan itu, saya lantas mendekati komputer riba dan melayari laman Bicara Mata Hati ini. Isu sosiolinguistik yang ingin saya ketengahkan adalah berkenaan bahasa lewah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:934), lewah ialah berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat. Sepanjang minggu yang kelapan bagi sesi kuliah semester enam, berikut merupakan antara contoh bahasa lewah yang tertanggap dek cuping telinga saya:
  1. Tiga punca-punca berlakunya...
  2. Perjalanan yang berliku-liku liku...
  3. Piala Monsun Cup yang diadakan di...
  4. Asyik main video game...
  5. Namun sekadar cuma...
Bahasa lewah merupakan fenomena lazim dalam kalangan masyarakat kita. Lewah terjadi apabila dalam sesebuah pertuturan itu terkandung penggunaan kata yang berlebihan dari keperluannya. Ayat (1) dan ayat (2) boleh diperbaiki seperti berikut:
  1. Tiga punca / Punca-punca berlakunya...
  2. Perjalanan yang berliku...
Ayat (3) dan ayat (4) menjadi bahasa yang lewah apabila penutur mencampuradukkan dua bahasa yakni bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mendukung makna yang sama meski berbeza ejaan dan sebutannya. Perkataan piala dan cup dalam ayat (3) mendukung makna seerti iaitu cawan yang berkaki dan diperbuat daripada perak atau emas yang lazimnya digunakan sebagai hadiah dalam sesebuah pertandingan. Perkataan main dan game dalam ayat (4) pula bermaksud sesuatu yang dilakukan untuk bersenang-senang atau bersuka-suka. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan pembetulan bagi ayat (3) dan ayat (4):
  1. Piala Monsun yang diadakan di...
  2. Asyik main video...
Bagi ayat (5), perkataan sekadar dan cuma turut mendukung makna yang sama iaitu hanya atau semata-mata. Justeru, salah satu daripadanya perlu digugurkan seperti berikut:
  1. Namun sekadar...
Meskipun sesetengah individu menganggap lewah sebagai ciri bahasa yang unik, akan tetapi, adalah lebih baik sekiranya kita menjauhi diri dari unsur pleonasme sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan kita. Barangkali agak sukar bagi saya dan juga sekalian pembaca, tetapi harus diingat bahawa, dengan adanya kesungguhan tiada yang mustahil di muka bumi ini. Akhir kata daripada saya, hayatilah peribahasa di bawah:
"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya."
Gambar sekadar hiasan
Sekian, terima kasih.  


Sabtu, 5 Mac 2011

SITUASI: BAHASA ARGOT

Salam sejahtera,
Pada hari ini, saya ingin berbicara tentang bahasa argot. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:77), argot ialah bahasa yang khusus digunakan oleh kumpulan sosial tertentu dan bersifat rahsia. Pensyarah Sosiolinguistik Melayu (BML 3073) pula mendefinisikan argot sebagai jargon yang khusus bersifat setempat atau kumpulan sosial atau kumpulan sepekerjaan, terutama sekali dalam kalangan masyarakat kelas bawahan.

Bagi mendalami makna bahasa argot, bersama kita memerhati dan menghayati contoh  yang sempat saya catatkan di bawah:

Pecat
Masyarakat di negeri Kelantan menyebut “pecat” bagi menggambarkan perbuatan “menanggalkan” manakala menurut bahasa Melayu baku, “pecat” bermaksud melepaskan atau memberhentikan.
Timun Cina
Masyarakat di Kelantan mengistilahkan “tembikai” sebagai “timun Cina”. Hal ini demikian kerana, berdasarkan etimologi, tembikai diperkenalkan oleh masyarakat Cina sekaligus menjadikannya sinonim dengan masyarakat berkenaan.
Bekwoh
Perkataan “bekwoh” merupakan adaptasi secara langsung daripada istilah bahasa Inggeris yang bermaksud “big work”. Sehubungan dengan itu, masyarakat di Kelantan menyebut “bekwoh” bagi melambangkan aktiviti kenduri. Walau bagaimanapun, hal tersebut sama sekali berbeza dengan fahaman masyarakat kedah yang menggambarkannya sebagai merayau!
Gerek
Perkataan “gerek” mendukung dua makna yang berbeza mengikut kawasan penuturnya. Hal ini demikian kerana, di Sarawak, “gerek” mendukung makna kekasih manakala masyarakat di negeri Kedah menyebut “gerek” bagi melambangkan basikal!
Menarik bukan? Demikianlah indahnya bumi Malaysia yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum serta beraneka pula bahasanya. Mengenali bahasa orang lain tidak bermakna kita membelakangkan bahasa kita sendiri. Dalam erti kata lain, kepelbagaian bahasa mampu memperbanyakkan kosa kata sekaligus menambahkan pengalaman dan pengetahuan berbahasa kita. Apa yang penting adalah kebijaksanaan kita dalam mengaplikasikan bahasa mengikut kesesuaian situasi dan sasarannya.
"Tuhan menjadikan manusia dengan pelbagai warna kulit dan bangsa."
                                                                             al-Rum, 22

p/s: Kiranya ada terlanjur, terkhilaf bicara...mohon ditegur dengan bijaksana.

Sekian, terima kasih.


SITUASI: LARAS BAHASA MEDIA

Salam sejahtera,
Setelah sekian lama menyepikan diri dari dunia blog, saya berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa di laman ini. Pada hari ini, saya akan berkongsi serba sedikit tentang laras bahasa media elektronik. Sebelum menelusur isu dengan lebih mendalam, ingin saya ketengahkan definisi dan konsep laras dan media elektronik.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:893), laras bahasa ialah variasi bahasa berdasarkan penggunaannya misalnya sebagai bahasa klasik, bahasa istana, bahasa sains dan lain-lain. Media elektronik pula bermakna alat atau saluran komunikasi yang berupa atau yang menggunakan alat-alat elektron moden seperti radio, televisyen dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007:1011).

Saya memilih untuk mengupas isu berkenaan laras bahasa media elektronik setelah mendengar perkongsian menarik daripada seorang pensyarah. Dua contoh di bawah merupakan bukti laras bahasa media elektronik yang diketengahkan oleh beliau:
  1. Remp-it
  2. Ngangkung
Dua contoh di atas amat sinonim dengan bahasa yang digunakan dalam media elektronik khasnya bidang perfilemen. Menurut beliau, kedua-dua contoh mendukung peranan bahasa sebagai wahana untuk menarik perhatian penonton. Dalam erti kata lain, bahasa yang dipilih mengandungi unsur-unsur eksploitasi khususnya dari segi memanfaatkan emosi penonton.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1310), rempit mendukung makna menyebat dengan rotan atau menyesah. Akan tetapi, Rempit yang diperkatakan dalam bidang perfileman menjurus kepada permasalahan sosial remaja iaitu aktiviti permotoran yang lazimnya melebihi had laju serta mengingkari peraturan jalan raya. Bagaimana dengan perkataan Ngangkung? Secara logiknya, nyangkung berasal daripada perkataan cangkung yang mendukung makna duduk dengan kaki berlipat tetapi punggung tidak mencecah lantai yakni tertinggung.

Berbalik kepada isu eksploitasi bahasa dalam bidang media elektronik, kedua-dua judul dipilih berikutan minat dan persepsi masyarakat yang cenderung untuk menonton filem berunsur lucah. Rempit dan nyangkung yang diadaptasi daripada cangkung memberi gambaran awal bahawa filem berkenaan mengandungi unsur-unsur yang kurang sesuai dijadikan tontonan umum. Akan tetapi, judul tersebut sekadar judul untuk menggamit perhatian penonton, dan itulah yang dinamakan eksploitasi!

Dalam masa yang sama, penggunaan bahasa yang sedemikian rupa akan menjejaskan martabat bahasa kita sebagai bahasa yang terulung kedudukannya. Bukankah media memainkan peranan dalam memelihara bahasa dan menjauhi diri dari merosakkannya? Jika media terus-menerus mengeksploitasi masyarakat, bagaimana dengan generasi terkemudian yang telah dicampur aduk mindanya dengan bahasa-bahasa yang bersifat arbitrari? Jangan sesekali kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai penutur bahasa yang telah pun meluas penggunaannya. Renung-renungkanlah jika kita mencintai bahasa.

Sekian, terima kasih.


INGATAN TULUS IKHLASKU