Salam sejahtera,
Pernahkah saudara dan saudari pembaca sekalian mendengar lagu-lagu yang didendangkan oleh Maher Zain? Secara peribadinya, saya menggemari beberapa buah lagu yang dinyanyikan oleh beliau misalnya Hold My Hand, For The Rest Of My Life dan Insha Allah. Pada ruangan ini, saya akan berkongsi salah satu daripada koleksi beliau yang acapkali singgah di cuping telinga saya. Justeru, hayatilah lagu di bawah:
Berdasarkan lagu di atas, isu yang ingin saya ketengahkan ialah penggunaan bahasa Melayu dalam lagu. Umum mengetahui Maher Zain adalah seorang penyanyi yang berasal dari Lebanon tetapi menulis sebuah lagu dalam bahasa Melayu yang berjudul Insha Allah. Bukankah tindakan beliau dapat kita simpulkan sebagai sesuatu yang membanggakan? Hal ini demikian kerana, beliau telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri dan wajar untuk dimartabatkan penggunaannya dalam pelbagai bidang. Hal tersebut seterusnya menjadi mangkin kepada kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas!
Hal ini berbeza dengan sikap segelintir ahli seni dalam kalangan masyarakat kita yang gemar untuk mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Tambahan pula, masyarakat kita seolah-olah berbangga dengan karya campuran yang dianggap santai atau "sempoi". Tanpa kita sedari, kita telah menafikan keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang unik dan tidak ternilai harganya. Sebagai contoh, elok kiranya kita meluangkan sedikit masa untuk mendengar lagu yang dinyanyikan oleh seorang artis tempatan seperti di bawah:
Kesimpulannya, lagu merupakan medium yang berpotensi besar untuk menyebarkan bahasa. Hal ini demikian kerana, sesebuah lagu mempunyai kuasa tersendiri untuk menarik perhatian pendengar yang tidak hanya terhad kepada satu kaum atau etnik sahaja. Sehubungan dengan itu, aspek penulisan dan penerbitan lirik sesebuah lagu memerlukan penelitian yang jitu khususnya dari aspek penggunaan bahasa. Sekiranya masyarakat di luar seperti Maher Zain dan Freddie Aguilar berlumba-lumba untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu, apa rasionalnya penyanyi kita yakni penutur jati sebaliknya cenderung untuk memasukkan elemen asing dalam lagunya? Akhir kata, jika bahasa asing yang kita agungkan sekalipun, jangan sesekali kita mengabaikan bahasa ibunda yang sedari dulu mendampingi kita.
Sekian, terima kasih.
Rujukan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan