Ahad, 13 Mac 2011

SITUASI: ALAHAI CIK 'AKAK'

Salam sejahtera, 
Setelah bergelumang dengan kesibukan kuliah dan tugasan yang kian menghampiri tarikh akhirnya, saya memilih untuk meluangkan sedikit masa bersama tilam dan bantal kesayangan. Dalam keadaan berbaring lesu, fikiran saya menerawang mengenangkan sebuah peristiwa yang mengusik mata hati saya untuk berbicara.

Peristiwa bertarikh 7 Mac 2011, bertempat di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) melibatkan dua orang sahabat baik saya yang dikenali dengan nama Munet dan Mila. Saya sebagai rakan pengiring hanya memerhati dari jauh. Namun begitu, butir bicara antara rakan dan petugas wanita itu sangat jelas di cuping telinga saya.

                Munet: Kak, kami nak beli tiket.
                Petugas:  (Tanpa memandang ke arah rakan) Nak ke mana?
                Mila: Sungai Petani, ada lagi tak kak?
                Perugas: (Tetap tidak mendongak) Takda dah. Dah habis.
                Munet: Hurmm, tak mengapalah kak. Terima kasih.
                Petugas: (Tidak menghiraukan kata-kata rakan)

Saya yang memerhati dari jauh hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal. Hati kecil saya lantas berbisik, "Apalah salahnya akak tu mendongak, melihat pelanggan yang datang menyapa di kaunter? Berat sangatkah bebanan kepala sehingga begitu sukar sekadar memandang buat seketika?" Alahai cik 'akak'.

Berdasarkan situasi tersebut, dapat saya simpulkan bahawa, kemahiran komunikasi merupakan satu aspek yang sangat penting dalam kita menjaga hubungan baik sesama insan. Komunikasi bukan hanya terhad kepada buah bicara tetapi tidak terkecuali juga bahasa badan kita. Bayangkan apa yang di rasa tatkala kita sedang mengatur bicara, orang yang diharapkan mendengar langsung tidak mengendahkan kita. 

Akhir kata, meskipun adakalanya kita terkhilaf perilaku terkasar bicara, akan tetapi, wajar kiranya kita memupuk nilai Rukun Negara yang kelima dalam apa jua aspek komunikasi yang kita sertai. Bukan hanya bahasa yang dipandang orang tetapi budi pekerti yang menepati norma disanjung bersama. 


Sekian, terima kasih kerana membaca.


Sabtu, 12 Mac 2011

SITUASI: UNIK

Salam sejahtera, 
Hari ini saya berbual kosong dengan seorang rakan. Saya dan rakan berbual tentang dunia hiburan yang mengkhusus kepada artis tempatan. Berikut merupakan sebahagian daripada perbualan kami:

                Saya: D, Abon tu unik kan?
                Rakan: Kenapa pulak?
                Saya: Yelah, suara dia kan unik. Mesti boleh cam punya.
                Rakan: Abon? Yang buat iklan kicap Jalen tu ke?
                Saya: Ha..ah, yang kita jumpa kat kedai mamak hari tu.
                Rakan: (Ketawa besar) Tu kira ideolek la E. Kan?
                Saya: Ye kot (ketawa). 

Setelah membuat timbang tara yang rapi, saya mengakui kebenaran kalimah akal rakan saya. Untuk pengetahuan bersama, ideolek ialah variasi bahasa seseorang individu. Meskipun aspek yang dibincangkan lebih kepada suara yang dimiliki oleh Abon, secara tidak langsung kami telah pun menyentuh tentang gaya dan cara pertuturannya yang tersendiri. Wajarkah saya menyifatkan suara beliau sebagai unik?

Unik di sini bermaksud istimewa, tersendiri atau lain dari yang lain. Sehubungan dengan itu, tidak salah kiranya saya menyifatkan suara yang dimiliki oleh Abon sebagai sesuatu yang unik. Tambahan pula, beliau sememangnya unik yakni suaranya boleh dikenal pasti meskipun hanya didengari di corong radio! Alahai, uniknya ciptaan Tuhan. Apa pula rasionalnya unik dengan sosiolinguistik?

Unik dianggap berhubung kait dengan sosiolinguistik kerana, sosiolinguistik ialah kajian bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap masyarakat. Justeru, dengan adanya sifat unik maka lahirlah bahasa yang bervariasi dan mempunyai keistimewaan sendiri yakni ideolek. Keunikan juga menjadi rencah yang menambah seri medan komunikasi masyarakat kita.  

Tuntasnya, setiap suku dan kaum itu mempunyai struktur bahasanya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, di Malaysia kita mempunyai bahasa kebangsaan yang berstatus tinggi iaitu bahasa Melayu. Meksipun begitu, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia ada menyebut tentang 'kebenaran' bagi rakyat Malaysia mengajar atau belajar bahasa lain selain bahasa Melayu.

Akhir kata, biar sebanyak mana bahasa yang kita ketahui, gunakanlah dengan berpada serta sesuai pula dengan situasinya. Sesungguhnya ilmu milik semua insan, yang membezakan cuma amalan kita. Sekian, terima kasih. 

p/s: Dengarkan keunikan suara Abon dalam slot di bawah...

Jumaat, 11 Mac 2011

SITUASI: SEBUTAN

Salam sejahtera, 
Pada petang ini, saya ingin berkongsi tentang masalah sebutan yang disebut sebagai pelat. Hal ini berlaku pada diri saya sendiri. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan sebahagian daripada perbualan antara saya dan seorang rakan: 

                Saya       : Da, ko watpe je?
                Rakan    : Aku kat umah je ni, nape?
                Saya       : Aku nak datang umah ko malam ni. Da citer sikit.
                Rakan    : Masalah ke?
                Saya       : Ha..ah, masyalah. Syusah ati aku ni weyh.
                Rakan    : (Ketawa) Wei, nape ko tersasul-sasul ni?
                Saya       : Oh, aku tersyasul eh? Adoi…salah sebut lagi. Huhu

Saya teringat akan perbualan tersebut tatkala saya mendengar seorang mahasiswi yang ditegur kerana mengalami kesukaran untuk menyebut huruf "s" dengan betul. Menurut fahaman saya, masalah sebutan seperti mana yang saya dan siswi tersebut alami diistilahkan sebagai pelat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1162) mendefinisikan pelat sebagai perlakuan kurang betul semasa mengucapkan kata-kata. Pelat bersinonim dengan telor

Menyebut tentang telor, saya kini memahami maksud salah seorang penilai bagi sesi pengajaran mikro yang telah pun selesai. Berbalik kepada perbualan bersama rakan, situasi sedemikian rupa bukanlah yang julung kalinya buat saya. Lebih menyedihkan apabila sekali saya tersasul keadaan tersebut akan berulang untuk kesekian kalinya dalam pertuturan saya yang seterusnya!  

Ingin saya tegaskan bahawa, bukannya niat saya untuk mempersendakan bahasa Melayu, tetapi permasalahan yang sukar dibendung menjadi batu loncatannya. Hal ini demikian kerana, saya berpendapat bahawa masalah sebutan merupakan masalah yang sukar untuk dikawal kekhilafannya. Sehubungan dengan itu, jika saya tersasul kata terkhilaf bicara, tegurlah saya dengan berhemah. 

Sebelum mengakhiri perkongsian pada petang ini, dengarkan  sebutan "s" dalam bait kata lagu di bawah:
Sesungguhnya, tiada yang sempurna di muka bumi ini. Sekian, terima kasih. 

SITUASI: SEINDAH RUPA

Salam sejahtera,
Sewaktu mengikuti sesi kuliah Karya Agung di PC26, saya telah memperoleh satu informasi baharu yang amat bermakna untuk dijadikan pegangan hidup. Informasi yang saya maksudkan ialah ketampanan sosial. Barangkali bunyinya kedengaran aneh yakni ketampanan lazim merujuk kepada kecantikan, keelokan atau kegagahan rupa paras seseorang. Walau bagaimanapun, aspek tampan yang diketengahkan oleh pensyarah A lebih menjurus kepada keelokan budi bicara seseorang dalam interaksi sosial yang disertai. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ketika masih di bangku sekolah, guru gemar bertanya tentang pekerjaan ibu bapa pelajar. Ekoran daripada itu, sebilangan kecil pelajar akan mula mendiamkan diri lantaran rasa malu yang menebal untuk mengakui profesion bagi kedua-dua orang tuanya. Berhubung dengan isu ketampanan sosial, para guru perlu bijak memainkan peranan sekaligus menyakinkan para pelajar bahawa setiap profesion itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bagaimanakah peranan tersebut boleh dilakukan?

Jawapannya cukup mudah, iaitu melalui penerapan unsur eufemisme dalam butir bicara yang kita tuturkan. Eufemisme bermaksud ungkapan yang lebih lembut, sopan dan manis untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar misalnya penggunaan buang air kecil untuk menggantikan ungkapan kencing. Di samping unsur penggantian kata yang bersifat disfemisme, ketampanan sosial turut menekankan aspek penggunaan kata sapaan yang betul khususnya sewaktu seseorang guru itu berinteraksi dengan masyarakat di sekelilingnya. 

Sebagai kesimpulan, ketampanan sosial menuntut setiap individu untuk menjaga ketertiban bahasa yang digunakan sewaktu berinteraksi dengan masyarakat sekaligus merapatkan jurang status yang wujud dalam kalangan masyarakat berkenaan. Hal ini demikian kerana, seseorang yang berwajah cantik atau tampan tetapi buruk budi bahasa tidak akan diterima dengan baik oleh masyarakat. Akhir kata dari saya, berbahasalah dengan indah seperti mana indahnya rupa parasmu. 
Sekadar gambar hiasan

Sekian, terima kasih.

Rabu, 9 Mac 2011

SITUASI : SENANDUNG BAHASA

Salam sejahtera, 
Pernahkah saudara dan saudari pembaca sekalian mendengar lagu-lagu yang didendangkan oleh Maher Zain? Secara peribadinya, saya menggemari beberapa buah lagu yang dinyanyikan oleh beliau misalnya Hold My Hand, For The Rest Of My Life dan Insha Allah. Pada ruangan ini, saya akan berkongsi salah satu daripada koleksi beliau yang acapkali singgah di cuping telinga saya. Justeru, hayatilah lagu di bawah:
Berdasarkan lagu di atas, isu yang ingin saya ketengahkan ialah penggunaan bahasa Melayu dalam lagu. Umum mengetahui Maher Zain adalah seorang penyanyi yang berasal dari Lebanon tetapi menulis sebuah lagu dalam bahasa Melayu yang berjudul Insha Allah. Bukankah tindakan beliau dapat kita simpulkan sebagai sesuatu yang membanggakan? Hal ini demikian kerana, beliau telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri dan wajar untuk dimartabatkan penggunaannya dalam pelbagai bidang. Hal tersebut seterusnya menjadi mangkin kepada kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas!

Hal ini berbeza dengan sikap segelintir ahli seni dalam kalangan masyarakat kita yang gemar untuk mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Tambahan pula, masyarakat kita seolah-olah berbangga dengan karya campuran yang dianggap santai atau "sempoi". Tanpa kita sedari, kita telah menafikan keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang unik dan tidak ternilai harganya. Sebagai contoh, elok kiranya kita meluangkan sedikit masa untuk mendengar lagu yang dinyanyikan oleh seorang artis tempatan seperti di bawah:

Kesimpulannya, lagu merupakan medium yang berpotensi besar untuk menyebarkan bahasa. Hal ini demikian kerana, sesebuah lagu mempunyai kuasa tersendiri untuk menarik perhatian pendengar yang tidak hanya terhad kepada satu kaum atau etnik sahaja. Sehubungan dengan itu, aspek penulisan dan penerbitan lirik sesebuah lagu memerlukan penelitian yang jitu khususnya dari aspek penggunaan bahasa. Sekiranya masyarakat di luar seperti Maher Zain dan  Freddie Aguilar berlumba-lumba untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu, apa rasionalnya penyanyi kita yakni penutur jati sebaliknya cenderung untuk memasukkan elemen asing dalam lagunya? Akhir kata, jika bahasa asing yang kita agungkan sekalipun, jangan sesekali kita mengabaikan bahasa ibunda yang sedari dulu mendampingi kita. 

Sekian, terima kasih. 

Rujukan:

Isnin, 7 Mac 2011

SITUASI: BIDALAN

Salam sejahtera,  
Pernahkah anda mendengar bidalan Melayu yang berbunyi orang berbudi, kita berbahasa? Apakah yang anda faham tentang bidalan tersebut? 

Menurut Asmah Haji Omar (2007:9), dalam bidalan berkenaan, kata budi membawa makna sikap yang baik. Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang mempunyai sikap yang baik terhadap kita, kita hendaklah membalasnya dengan sikap yang baik yakni berbahasa.

Dipendekkan cerita, setelah selesai mengikuti sesi kuliah bagi kursus Sosiolinguistik Melayu, saya dan rakan mengunjungi sebuah kedai di kampus. Kami ke sana untuk mencetak dan memuatkan bahan tugasan ke dalam CD. Barangkali kerana kami telah biasa ke sana, pemilik premis perniagaan itu telah menyambut kami dengan baik. Sejurus selepas selesainya kedua-dua urusan kami, rakan saya mendapati bahawa terdapat sedikit kesilapan pada cetakan tugasan berkumpulan. Sehubungan dengan itu, pemilik premis tersebut telah membenarkan kami untuk mengedit dan membuat ubah suai.

Meskipun saya dan rakan agak cerewet, pemilik premis perniagaan tersebut tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik. Perkara tersebut benar-benar menyentuh hati saya. Hal ini demikian kerana, pemilik premis perniagaan tersebut bukan sahaja elok budi tetapi indah bahasanya. Sebelum berlalu, kami sempat mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kami. Pemilik premis tersebut membalasnya dengan senyuman manis.

Kesimpulannya, dalam apa jua bidang yang kita ceburi, budi dan bahasa memainkan peranan yang penting. Ucapan terima kasih merupakan inisiatif yang paling mudah dan bermakna sekiranya kita ingin membalas budi baik seseorang. Di samping mampu mengeratkan tali silaturahim sesama insan, ucapan tersebut menggambarkan eratnya perkaitan antara budi dan bahasa dalam kalangan masyarakat kita. Renung-renungkanlah.
Orang berbudi, kita berbahasa

Ahad, 6 Mac 2011

SITUASI: EMOSI

Salam sejahtera, 
Saya baru sahaja pulang dari menyaksikan perlawanan bola sepak antara dua kelab terkemuka iaitu Liverpool dan Manchester United! Apa yang menarik perhatian saya adalah kawalan emosi dalam kalangan peminat sukan berkenaan. 

Kawalan emosi yang saya maksudkan ialah aspek pemilihan kata yang digunakan oleh para penyokong yang hadir untuk memberi sokongan kepada kelab pilihan masing-masing. Lazimnya, akan berlaku insiden kata mengata atau saling mengutuk antara penyokong kelab yang berlawanan. Walau bagaimanapun, penyokong kelab Liverpool dan kelab-kelab lain selain Manchester United telah menunjukkan amalan kawalan emosi yang sangat cemerlang. Hal ini demikian kerana, meskipun Liverpool menang besar dalam perlawanan tersebut, para penyokongnya bersikap tenang dan tidak mencemuh pihak lawan.

Kata orang, setiap kejadian itu pasti ada pro dan kontranya. Perkara yang negatif menurut penghakiman saya adalah tindakan seorang pemandu kereta mewah yang enggan saya sebutkan suku kaumnya. Dipendekkan cerita, sewaktu sedang asyik menonton, saya dan rakan dikejutkan dengan bunyi hon yang kuat dan bertalu-talu. Setelah diperhati, ternyata seorang pemandu kereta mewah sedang memberi isyarat supaya pemilik kereta keluaran negara memberi laluan kepadanya. Saya merasa terkilan kerana pemandu kereta mewah tersebut bukan sahaja menganggu ketenteraman awam bahkan bertindak sewenang-wenangnya dalam khalayak. Secara tidak langsung, pemandu tersebut memperlihatkan kawalan emosinya yang lemah.

Apa yang ingin saya rumuskan di sini ialah, emosi merupakan satu aspek yang sangat penting bagi kita untuk mengawal dan mengendalikannya. Jangan kerana emosi kita melakukan sesuatu yang kurang sopan dan menyalahi norma masyarakat kita. Sekiranya kita sedang bergembira, jangan pula kita memperlekehkan orang yang sedang berduka. Dalam pada masa yang sama, aspek kawalan emosi turut membantu kita untuk mengawal ujaran yang terungkap dari bibir seterusnya memelihara keutuhan hubungan manusiawi.

INGATAN TULUS IKHLASKU