Jumaat, 18 Mac 2011

SITUASI: "RAWA"

Salam sejahtera,
Seterusnya, saya akan berkongsi serba sedikit tentang alkisah novel "Rawa" yang ditulis oleh pemenang S.E.A Write Award. Terlebih dahulu, molek kiranya kita menelusuri sinopsis atau ringkasan bagi karya tersebut seperti mana yang dipaparkan dalam grafik di bawah:


Apa rasionalnya saya berkongsi karya sastera di atas? Pertama, karya tersebut merupakan sebuah karya yang mengandungi nilai modal insan yang tinggi. Di samping itu, karya tersebut menekankan penggunaan bahasa Melayu yang standard. Selain itu, ada perkara yang lebih penting iaitu pandangan hidup orang Melayu yang pada ketika itu berpegang teguh kepada idenditi masing-masing. Sebagai contoh, teliti buah bicara di bawah:
"Kenapa tidak? Kita sebenarnya satu rumpun. Orang Kallang, orang Seletar, orang Selat dan orang Melayu Riau semuanya berkulit sawo matang. Bahasa pun lebih kurang sama. Cuma lain tabiat dan kepercayaan sikit..."

Petikan di atas merupakan buah bicara yang terungkap dari sahabat baik Rawa, iaitu Ayong, seperti mana yang dijelaskan di halaman 28 novel tersebut. Berdasarkan petikan di atas, dapat saya simpulkan bahawa bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa perhubungan luas. Hal ini demikian kerana, meskipun berbeza latar belakang dan pegangan agama sesuatu bangsa itu secara sedar mahupun tidak sebenarnya menggunakan bahasa pengantar yang sama, iaitu bahasa Melayu!

Sehubungan dengan itu, logik kiranya saya menyifatkan bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang telah meluas penggunaannya. Justeru, jangan sesekali kita merasa rendah diri sebaliknya berbanggalah dengan bangsa dan bahasa ibunda kita. Seperti mana Rawa ada menyebut, "Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit."


Sekian, terima kasih kerana membaca. 


Selasa, 15 Mac 2011

SITUASI: MOTIVASI PAGI

Salam sejahtera, 
Seawal pukul 7:45a.m, saya mengatur langkah ke Kolej Harun Aminurrashid yang letaknya berhadapan dengan blok Taman Arked. Sementara menunggu rakan, saya meluangkan sedikit masa untuk mendengar perkongsian seorang insan yang dijemput bagi memeriahkan lagi rancangan Motivasi Pagi MHI, TV3. 

Tetamu jemputan yang ditemani oleh juruhebah dan pengacara terkenal yakni Abby Fana telah mengutarakan satu buah bicara yang sangat menarik mata hati saya untuk berbicara dengan lebih lanjut tentangnya. Berikut merupakan antara buah bicara yang sempat saya rakamkan:
"Saya ingin mengulas mengenai budaya bercakap khususnya dalam kalangan ibu bapa di Malaysia. Menurut kajian, saya mendapati bahawa ibu bapa di negara kita cenderung untuk bercakap banyak yakni berleter. Mengapa tidak kita terbalikkan? Memadailah dengan 10% bercakap dan selebihnya, 90% kita gunakan untuk mendengar...."
Berdasarkan ujaran di atas, isu yang ingin saya ketengahkan ialah fungsi bahasa dalam masyarakat. Seperti mana yang dimaklumkan pada petikan di atas, ibu bapa zaman moden cenderung untuk bercakap daripada mendengar. Sehubungan dengan itu, jiwa remaja akan memberontak, protes, seterusnya menjurus kepada dunia mereka sendiri yakni gejala sosial yang kian berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. 

Berbalik kepada fungsi bahasa, saya berpendapat bahawa bahasa itu seharusnya mendukung pelbagai amanat yang berguna dan bukannya omongan kosong semata-mata. Hal ini demikian kerana, bahasa telah diangkat martabatnya sebagai wahana penyampaian ilmu yang paling berkesan. Sebagai contoh, retorik Melayu menekankan pemilihan pelbagai diksi yang membolehkan pemujukan itu berjaya. Dalam konteks sosial, pemujukan merupakan salah satu daripada jalan penyelesaian kepada satu-satu masalah!

Di samping itu, masyarakat sama sekali tidak boleh menafikan fungsi bahasa sebagai medium bagi seseorang individu untuk melibatkan diri dalam interaksi sosial melalui perbualan, perbincangan, dan penulisan untuk menjalin dan mengeratkan hubungan serta mendapatkan perkhidmatan. Perkhidmatan yang saya maksudkan adalah khidmat kaunseling bagi para remaja yang bermasalah. Bukankah kaunseling memerlukan bahasa sebagai mangkin  keberkesanannya? 

Sebagai kesimpulannya, saya menyifatkan bahawa bercakap itu tidak salah sekiranya kita bercakap sebagai seorang sahabat atau keluarga yang memahami dan mempunyai empati. Permasalahan akan timbul apabila kita bercakap membabi buta dan tanpa usul periksa, kerana bukan masalah yang kita selesaikan tetapi padah yang menanti. Akhir kata, gunakanlah bahasa untuk menjaga hubungan manusiawi dengan sebaik yang mungkin. 


Sekian, terima kasih. 

Ahad, 13 Mac 2011

SITUASI: ALKISAH KONOTASI

Salam sejahtera,
Migrain saya datang lagi! Benci dan pilu berbaur dalam diri. Saya lantas bangkit, menghadap komputer riba yang telah sedia ternganga. Jari jemari saya bermain dengan papan kekunci, berlegar di laman google images. Saya melopong, tergamam sejenak! Mengapa? Saksikan ini:
Gulp! Barangkali demikianlah unsur onomatopeia yang rasional saya gunakan untuk menggambarkan keadaan tekak saya menelan air liur. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal, kelu rasanya lidah hendak berkata-kata, tergamam akal dewasa tidak mampu melontarkan buah bicara, lantas hati kecil saya berbisik, "Alahai konotasi." 

Rakan pembaca yang dihormati, apakah yang anda faham tentang konotasi? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:816), konotasi ialah asosiasi atau idea yang dimaksudkan oleh sesuatu perkataan atau ungkapan selain maknanya yang tersurat. Pendek kata, konotasi merupakan makna tersirat selain yang tersurat.

Berdasarkan iklan yang tertera di atas, ingin saya bahaskan berkenaan penggunaan ungkapan "penjual gadis" dan konotasinya. Barangkali rakan pembaca kurang bersetuju kiranya saya  berpendapat bahawa ungkapan tersebut boleh mengundang kekeliruan makna sekaligus menimbulkan tanggapan yang negatif mengenainya!

Kekeliruan makna dan tanggapan negatif akan berlaku apabila masyarakat yang membacanya bermain dengan konotasi. Sebagai contoh, anak muda remaja yang nakal barangkali akan mentafsirkan makna iklan tersebut sebagai pencarian insan yang boleh memperdagangkan manusia yakni gadis! Rasionalkah ujaran saya?

Bagaimana pula dengan anak-anak yang baru menginjak dewasa? Yang usia baru setahun jagung bak kata orang tua-tua. Mereka akan berhadapan dengan kekeliruan makna sekaligus melahirkan persepsi negatif berkenaan motif sebenar iklan tersebut. Mungkinkah?

Sehubungan dengan itu, ingin saya ketengahkan satu ungkapan yang diyakini lebih mesra dan sesuai untuk digunakan iaitu "jurujual wanita". Hal ini demikian kerana, jika diterjemahkan secara langsung sekalipun, sales girl mendukung makna jurujual dan bukannya penjual! Justeru, renung-renungkanlah.  

Akhir kata, meski hanya papan iklan kerja yang kita ketengahkan, aspek bahasa haruslah dijaga. Bukannya mengundang amarah di jiwa, sekadar berkongsi buah bicara. Sekian, terima kasih. 

SITUASI: ALAHAI CIK 'AKAK'

Salam sejahtera, 
Setelah bergelumang dengan kesibukan kuliah dan tugasan yang kian menghampiri tarikh akhirnya, saya memilih untuk meluangkan sedikit masa bersama tilam dan bantal kesayangan. Dalam keadaan berbaring lesu, fikiran saya menerawang mengenangkan sebuah peristiwa yang mengusik mata hati saya untuk berbicara.

Peristiwa bertarikh 7 Mac 2011, bertempat di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) melibatkan dua orang sahabat baik saya yang dikenali dengan nama Munet dan Mila. Saya sebagai rakan pengiring hanya memerhati dari jauh. Namun begitu, butir bicara antara rakan dan petugas wanita itu sangat jelas di cuping telinga saya.

                Munet: Kak, kami nak beli tiket.
                Petugas:  (Tanpa memandang ke arah rakan) Nak ke mana?
                Mila: Sungai Petani, ada lagi tak kak?
                Perugas: (Tetap tidak mendongak) Takda dah. Dah habis.
                Munet: Hurmm, tak mengapalah kak. Terima kasih.
                Petugas: (Tidak menghiraukan kata-kata rakan)

Saya yang memerhati dari jauh hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal. Hati kecil saya lantas berbisik, "Apalah salahnya akak tu mendongak, melihat pelanggan yang datang menyapa di kaunter? Berat sangatkah bebanan kepala sehingga begitu sukar sekadar memandang buat seketika?" Alahai cik 'akak'.

Berdasarkan situasi tersebut, dapat saya simpulkan bahawa, kemahiran komunikasi merupakan satu aspek yang sangat penting dalam kita menjaga hubungan baik sesama insan. Komunikasi bukan hanya terhad kepada buah bicara tetapi tidak terkecuali juga bahasa badan kita. Bayangkan apa yang di rasa tatkala kita sedang mengatur bicara, orang yang diharapkan mendengar langsung tidak mengendahkan kita. 

Akhir kata, meskipun adakalanya kita terkhilaf perilaku terkasar bicara, akan tetapi, wajar kiranya kita memupuk nilai Rukun Negara yang kelima dalam apa jua aspek komunikasi yang kita sertai. Bukan hanya bahasa yang dipandang orang tetapi budi pekerti yang menepati norma disanjung bersama. 


Sekian, terima kasih kerana membaca.


Sabtu, 12 Mac 2011

SITUASI: UNIK

Salam sejahtera, 
Hari ini saya berbual kosong dengan seorang rakan. Saya dan rakan berbual tentang dunia hiburan yang mengkhusus kepada artis tempatan. Berikut merupakan sebahagian daripada perbualan kami:

                Saya: D, Abon tu unik kan?
                Rakan: Kenapa pulak?
                Saya: Yelah, suara dia kan unik. Mesti boleh cam punya.
                Rakan: Abon? Yang buat iklan kicap Jalen tu ke?
                Saya: Ha..ah, yang kita jumpa kat kedai mamak hari tu.
                Rakan: (Ketawa besar) Tu kira ideolek la E. Kan?
                Saya: Ye kot (ketawa). 

Setelah membuat timbang tara yang rapi, saya mengakui kebenaran kalimah akal rakan saya. Untuk pengetahuan bersama, ideolek ialah variasi bahasa seseorang individu. Meskipun aspek yang dibincangkan lebih kepada suara yang dimiliki oleh Abon, secara tidak langsung kami telah pun menyentuh tentang gaya dan cara pertuturannya yang tersendiri. Wajarkah saya menyifatkan suara beliau sebagai unik?

Unik di sini bermaksud istimewa, tersendiri atau lain dari yang lain. Sehubungan dengan itu, tidak salah kiranya saya menyifatkan suara yang dimiliki oleh Abon sebagai sesuatu yang unik. Tambahan pula, beliau sememangnya unik yakni suaranya boleh dikenal pasti meskipun hanya didengari di corong radio! Alahai, uniknya ciptaan Tuhan. Apa pula rasionalnya unik dengan sosiolinguistik?

Unik dianggap berhubung kait dengan sosiolinguistik kerana, sosiolinguistik ialah kajian bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap masyarakat. Justeru, dengan adanya sifat unik maka lahirlah bahasa yang bervariasi dan mempunyai keistimewaan sendiri yakni ideolek. Keunikan juga menjadi rencah yang menambah seri medan komunikasi masyarakat kita.  

Tuntasnya, setiap suku dan kaum itu mempunyai struktur bahasanya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, di Malaysia kita mempunyai bahasa kebangsaan yang berstatus tinggi iaitu bahasa Melayu. Meksipun begitu, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia ada menyebut tentang 'kebenaran' bagi rakyat Malaysia mengajar atau belajar bahasa lain selain bahasa Melayu.

Akhir kata, biar sebanyak mana bahasa yang kita ketahui, gunakanlah dengan berpada serta sesuai pula dengan situasinya. Sesungguhnya ilmu milik semua insan, yang membezakan cuma amalan kita. Sekian, terima kasih. 

p/s: Dengarkan keunikan suara Abon dalam slot di bawah...

Jumaat, 11 Mac 2011

SITUASI: SEBUTAN

Salam sejahtera, 
Pada petang ini, saya ingin berkongsi tentang masalah sebutan yang disebut sebagai pelat. Hal ini berlaku pada diri saya sendiri. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan sebahagian daripada perbualan antara saya dan seorang rakan: 

                Saya       : Da, ko watpe je?
                Rakan    : Aku kat umah je ni, nape?
                Saya       : Aku nak datang umah ko malam ni. Da citer sikit.
                Rakan    : Masalah ke?
                Saya       : Ha..ah, masyalah. Syusah ati aku ni weyh.
                Rakan    : (Ketawa) Wei, nape ko tersasul-sasul ni?
                Saya       : Oh, aku tersyasul eh? Adoi…salah sebut lagi. Huhu

Saya teringat akan perbualan tersebut tatkala saya mendengar seorang mahasiswi yang ditegur kerana mengalami kesukaran untuk menyebut huruf "s" dengan betul. Menurut fahaman saya, masalah sebutan seperti mana yang saya dan siswi tersebut alami diistilahkan sebagai pelat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1162) mendefinisikan pelat sebagai perlakuan kurang betul semasa mengucapkan kata-kata. Pelat bersinonim dengan telor

Menyebut tentang telor, saya kini memahami maksud salah seorang penilai bagi sesi pengajaran mikro yang telah pun selesai. Berbalik kepada perbualan bersama rakan, situasi sedemikian rupa bukanlah yang julung kalinya buat saya. Lebih menyedihkan apabila sekali saya tersasul keadaan tersebut akan berulang untuk kesekian kalinya dalam pertuturan saya yang seterusnya!  

Ingin saya tegaskan bahawa, bukannya niat saya untuk mempersendakan bahasa Melayu, tetapi permasalahan yang sukar dibendung menjadi batu loncatannya. Hal ini demikian kerana, saya berpendapat bahawa masalah sebutan merupakan masalah yang sukar untuk dikawal kekhilafannya. Sehubungan dengan itu, jika saya tersasul kata terkhilaf bicara, tegurlah saya dengan berhemah. 

Sebelum mengakhiri perkongsian pada petang ini, dengarkan  sebutan "s" dalam bait kata lagu di bawah:
Sesungguhnya, tiada yang sempurna di muka bumi ini. Sekian, terima kasih. 

SITUASI: SEINDAH RUPA

Salam sejahtera,
Sewaktu mengikuti sesi kuliah Karya Agung di PC26, saya telah memperoleh satu informasi baharu yang amat bermakna untuk dijadikan pegangan hidup. Informasi yang saya maksudkan ialah ketampanan sosial. Barangkali bunyinya kedengaran aneh yakni ketampanan lazim merujuk kepada kecantikan, keelokan atau kegagahan rupa paras seseorang. Walau bagaimanapun, aspek tampan yang diketengahkan oleh pensyarah A lebih menjurus kepada keelokan budi bicara seseorang dalam interaksi sosial yang disertai. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ketika masih di bangku sekolah, guru gemar bertanya tentang pekerjaan ibu bapa pelajar. Ekoran daripada itu, sebilangan kecil pelajar akan mula mendiamkan diri lantaran rasa malu yang menebal untuk mengakui profesion bagi kedua-dua orang tuanya. Berhubung dengan isu ketampanan sosial, para guru perlu bijak memainkan peranan sekaligus menyakinkan para pelajar bahawa setiap profesion itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bagaimanakah peranan tersebut boleh dilakukan?

Jawapannya cukup mudah, iaitu melalui penerapan unsur eufemisme dalam butir bicara yang kita tuturkan. Eufemisme bermaksud ungkapan yang lebih lembut, sopan dan manis untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar misalnya penggunaan buang air kecil untuk menggantikan ungkapan kencing. Di samping unsur penggantian kata yang bersifat disfemisme, ketampanan sosial turut menekankan aspek penggunaan kata sapaan yang betul khususnya sewaktu seseorang guru itu berinteraksi dengan masyarakat di sekelilingnya. 

Sebagai kesimpulan, ketampanan sosial menuntut setiap individu untuk menjaga ketertiban bahasa yang digunakan sewaktu berinteraksi dengan masyarakat sekaligus merapatkan jurang status yang wujud dalam kalangan masyarakat berkenaan. Hal ini demikian kerana, seseorang yang berwajah cantik atau tampan tetapi buruk budi bahasa tidak akan diterima dengan baik oleh masyarakat. Akhir kata dari saya, berbahasalah dengan indah seperti mana indahnya rupa parasmu. 
Sekadar gambar hiasan

Sekian, terima kasih.

INGATAN TULUS IKHLASKU